PETALING JAYA – Snek makanan ringan, konjak jeli adalah makanan berisiko membuatkan individu tercekik dan ia tidak sesuai bagi kanak kanak berusia lima tahun ke bawah.
Perkara itu dikongsikan oleh Public Health Malaysia (PHM) di laman facebooknya, ia mendedahkan snek makanan ringan itu mempunyai struktur gelatin yang menyebabkan ia susah ditelan serta dikunyah dan ia juga tidak mudah dilarutkan ketika ia berada di dalam mulut.
Perkongsian itu dibuat selepas seorang pengguna, Afifah Zen memuat naik satu situasi dia dan pasukannya menyelamatkan kanak-kanak tiga tahun gara-gara tercekik snek tersebut.
“Dulu masa mula-mula dengar cerita tentang konjak jeli rasa pelik juga macam mana jeli ni boleh mengembang dalam esofagus dan menyebabkan penyekatan salur nafas. Tetapi selepas Allah tunjuk depan mata sendiri baru saya faham.
“Minggu lepas saya dapat ‘on call’ daripada hospital, saya terus datang zon merah. Saya jaga saluran penafasan. Memang terus cuba ‘intubasi’ tapi saya tak nampak pita suara budak ini dan kemudian saya cuba buat sedutan sikit. Lepas itu saya nampak sesuatu melekat di belakang tekak.
“Benda itu melekit, puas saya tolak dan tarik. Jadi, saya cuba sepit benda tu dan nampak jeli sebesar duit 50 sen lama. Bila buang je terus boleh nampak pita suara,” katanya.
Jelasnya lagi, selepas lapan minit bertarung di bilik zon merah, jantung kanak-kanak tersebut mula berdegup kembali.
Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan snek makanan ringan itu memang sentiasa dipantau oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di pasaran secara berterusan.
“Konjak adalah sejenis tumbuhan yang tinggi dengan kandungan serat yang dipanggil qlukomannan atau disebut juga konnyaku, konjonac atau serbuk taro atau tepung keladi yang berfungsi sebagai bahan pemekat dalam penghasilan jeli.
“Label produk bagi kategori 139A juga hendaklah mengandungi penyataan amaran iaitu ‘Boleh Menyebabkan Risiko Tercekik’ dan perkataan ‘Tidak Sesuai Bagi Kanak-Kanak Dibawah Umur 3 Tahun’,” katanya.
Sumber: Kosmo