Peralihan Monsun: 16 Daerah Tidak Terima Hujan

0
89
Foto: Utusan Malaysia

Kuala Lumpur: Enam belas daerah di negara ini tidak menerima hujan melebihi 15 hari, paling lama adalah dua daerah di Sabah, iaitu Lahad Datu dan Papar, masing-masing ‘kering’ selama 29 dan 28 hari.

Langkawi pula melalui 22 hari tanpa hujan; Pasir Puteh di Kelantan (21 hari); Kota Belud, Kota Kinabalu dan Putatan di Sabah (19 hari); Labuan (18 hari) serta Jelebu dan Port Dickson di Negeri Sembilan (17 hari).

Enam lagi daerah tidak menerima hujan selama 16 hari, iaitu Muar di Johor; Jeli, Kota Bharu dan Kuala Krai di Kelantan; Temerloh di Pahang dan Chuping, Perlis.

Menjelaskan perkembangan itu, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata 41 daerah lain berada pada status berjaga-jaga dengan suhu maksimum harian 35 hingga 37 darjah Celsius.

“Lapan daripada daerah berkenaan adalah di Kedah, tujuh di Johor, masing-masing enam di Negeri Sembilan dan Pahang, masing-masing dua di Sabah dan Sarawak, selain satu daerah di Perak iaitu Kuala Kangsar.

“Selain itu, Sepang di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya,” katanya pada sesi temu bual bersama¬†BH dan dua media lain, di sini.

Sebelum ini, Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) melaporkan terdapat dua kawasan mencapai status gelombang haba dengan suhu maksimum harian melebihi 37 hingga 40 darjah Celsius, iaitu Perlis dan Hulu Perak, Perak.

Nik Nazmi berkata, kelembapan udara yang rendah dalam angin semasa Monsun Barat Daya menyebabkan kurangnya pembentukan awan hujan, sekali gus menyebabkan beberapa kawasan bakal mengalami bilangan hari tanpa hujan yang lebih banyak.

Katanya, pembenihan awan akan dilakukan jika ada keperluan mendesak, namun ia proses yang rumit dan memerlukan kajian dibuat.

“Keadaan di Sabah sudah membolehkan negeri itu buat pembenihan awan, namun kesesuaian meteorologi termasuk keadaan awan penting untuk dikaji terlebih dahulu. Semua tindakan pembenihan awan di bawah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

“METMalaysia dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan terbabit sama. Perkara paling penting adalah kebarangkalian untuk proses itu berkesan kerana kosnya tidak murah dan memerlukan keputusan dalam aspek teknikal sebelum proses itu boleh dilakukan,” katanya.

Fasa peralihan monson

Nik Nazmi berkata, cuaca panas dan kering ketika ini akan beransur pulih menjelang pertengahan April disebabkan fasa peralihan monsun yang dijangka mulai 29 Mac sehingga Mei depan.

Sementara itu, beliau menjelaskan, tiada data sehingga kini bahawa Malaysia bakal berdepan ‘Super El Nino 2024’ menjelang Jun seperti kajian jurnal ‘Scientific Reports’ membabitkan negara Asia Tenggara.

Bagaimanapun, katanya, sebarang tindakan susulan El Nino akan diputuskan melalui mesyuarat Jawatankuasa Induk Jerebu dan Cuaca Kering Kebangsaan (JIJCKK) berdasarkan garis panduan sedia ada.

“Jika ada perkembangan dalam keadaan cuaca panas atas jerebu, jawatankuasa ini akan bermesyuarat dan mengambil tindakan berdasarkan garis panduan sedia ada seperti kelonggaran pemakaian di sekolah seperti sebelum ini,” katanya.

Sumber: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here