Perak Tiada Masalah Kos, Rumput Zeon Zoysia Masih Dalam Perbincangan

0
98
Foto: Vocket FC

IPOH, 2 November- Rancangan Stadium Perak untuk menggunakan rumput jenis Zeon Zoysia masih dalam peringkat perbincangan.

Keputusan mengenainya hanya akan diketahui selewat-lewatnya hujung tahun ini, kata Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin.

Beliau berkata, perbincangan masih dijalankan antara Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dan kerajaan negeri berhubung penggunaan rumput tersebut.

Jelasnya, isunya buat masa ini, bukanlah daripada segi kos penyelenggaraan, tetapi lebih kepada masalah pentadbiran sekiranya rumput itu digunakan kelak.

“Katakanlah, kita mula gunakan rumput itu tahun depan dan ianya memerlukan ‘rehat’ enam ke lapan bulan sebelum boleh digunakan, jadi, dimana pemain Perak mahu bermain, di Ipoh tiada stadium yang lebih besar jadi masih banyak isu pentadbiran yang perlu diselesaikan.

“Ketika ini kita sedang berunding dengan kerajaan negeri, setakat ni kita perlu lihat dahulu tapi daripada segi keupayaan kita mampu, itu yang kita mahu bagitahu ,”katanya.

Rumput Zeon Zoysia dicadangkan untuk digunakan di stadium-stadium utama kerana mempunyai sistem akar yang luas, pertumbuhan rizom yang kuat, dan ia menghasilkan rumput padat tebal yang pulih dengan cepat daripada kerosakan.

Ia menghasilkan kurang jerami berbanding kultivar zoysia lain selain mempunyai toleransi garam yang baik.

Rumput Zeon dikatakan mampu menangani keadaan cuaca ekstrem kerana ia tidak terkesan dengan cuaca panas atau sejuk yang melampau dan boleh beradaptasi dengan persekitaran, tidak kira tempat teduh atau pun terdedah matahari.

Paling penting, rumput tersebut dikatakan mampu bertahan dari serangga dan penyakit tumbuhan serta mudah diselenggara.

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sebelum ini menawarkan geran kepada kerajaan negeri untuk menukar rumput di stadium mereka kepada jenis Zeon Zoysia yang hanya merangkumi kos penukaran rumput sahaja.

Bagaimanapun, Menterinya Hannah Yeoh memaklumkan, setakat ini hanya Sarawak menyatakan persetujuan untuk menggunakan rumput itu manakala Terengganu, Wilayah Persekutuan dan Pahang memilih untuk menggunakan rumput sedia ada.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here