KOTA BHARU – Seorang penuntut sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) di Johor didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan menyebabkan kecederaan parah ke atas rakan baiknya menggunakan asid sulfurik dan memiliki cecair tersebut pada minggu lalu.
Tertuduh, R. Keertana Naidu, 22, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Nik Habri Muhamad.
Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa dengan sengaja melakukan kesalahan dengan menyebabkan kecederaan parah terhadap Nurul Husna Rahim, 22, menggunakan benda melecur iaitu asid sulfurik.
Perbuatan itu dilakukan di pejabat jabatan di sebuah universiti di Kubang Kerian di sini kira-kira pukul 4.23 petang pada 3 Mei lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebatan jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa memiliki bahan kakisan iaitu asid sulfurik yang dalam keadaan menimbulkan anggapan munasabah bahawa wanita itu bercadang untuk menggunakan bahan tersebut sebagai maksud menyebabkan kecederaan kepada mangsa sama.
Kesalahan itu dilakukan oleh tertuduh di lokasi dan masa yang sama.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 3 Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih tiga tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Faiz Fitri Mohamad manakala tertuduh diwakili peguam, Azeezi Nordin.
Terdahulu, Ahmad Faiz Fitri tidak menawarkan sebarang jaminan kerana kesalahan yang dilakukan oleh tertuduh amat serius.
“Pertikaian masalah timbul antara tertuduh dan mangsa sehingga menyebabkan tertuduh sanggup datang dari Johor dengan membawa sebotol asid sulfurik.
“Sudah pasti berlaku risiko yang tinggi sekiranya tertuduh diberikan ikat jamin,” katanya.
Azeezi kemudiannya memohon tertuduh diberi jaminan munasabah kerana anak guamnya merupakan pelajar cemerlang dan bakal menghadapi peperiksaan.
“Sebelum ini, mangsa juga merupakan rakan baik kepada anak guam saya. Mereka tinggal sebilik semasa bersama-sama menuntut di Kolej Matrikulasi.
“Selain itu, bapa tertuduh juga hanya bekerja sebagai ejen insurans dengan pendapatan kira-kira RM1,000 sebulan,” ujarnya.
Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin termasuk syarat tambahan iaitu tertuduh perlu hadir di balai polis berdekatan dan tidak dibenarkan menganggu mangsa.
Nik Habri turut menetapkan 9 Jun depan untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen. Tertuduh membayar jaminan yang ditetapkan mahkamah. – KOSMO! ONLINE
Sumber: Kosmo