Penjaja Pasar Malam Kedah Diarahkan Berhenti Operasi Sementara Waktu Solat Maghrib

0
47
Foto: Utusan

Alor Setar: Semua penjaja pasar malam di negeri ini diarah untuk memberhentikan operasi perniagaan seketika bagi menghormati waktu solat Maghrib bermula 1 Mei ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan negeri Mansor Zakaria berkata, tempoh itu bermula lima minit sebelum dan 10 minit selepas waktu solat Maghrib.

“Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah yang telah bersidang pada 21 Februari 2024 bersetuju untuk memberhentikan operasi perniagaan semasa waktu Maghrib.

“Berdasarkan keputusan itu, pihak berkuasa tempatan (PBT) memberi notis kepada semua penjaja pasar malam untuk mematuhi arahan tersebut bermula 1 Mei depan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mansor yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kuala Ketil berkata, arahan itu dikeluarkan bagi menghormati waktu Maghrib serta memberi ruang kepada peniaga dan orang ramai untuk mendirikan solat.

Terdahulu, tular notis pemberitahuan berkenaan kepada penjaja pasar malam di sekitar daerah Kulim.

Arahan itu dikeluarkan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kulim melalui pekeliling bertarikh 21 April lalu.

Sumber: Harian Metro

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here