Peniaga Kantoi Celup Ikan Dalam Pewarna Untuk Kelihatan Segar

0
173

Kota Kinabalu: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) mengesan seorang peniaga ikan menggunakan bahan pewarna dipercayai untuk ‘mencantikkan’ ikan yang dijualnya di Pasar Malam Inanam dekat sini, malam Isnin lalu.

Ia susulan pemeriksaan yang dijalankan anggota Jabatan Kesihatan Persekitaran Bandaraya (JKPB) DBKK bersama Pejabat Kesihatan Kota Kinabalu berikutan laporan di media sosial mengenai tindakan peniaga ikan meletakkan bahan pewarna dalam tong ikan, sehari sebelum itu.

Menerusi kenyataan, Ketua Pengarah DBKK, Junainah Abbie berkata, semua 20 lot gerai menjual ikan di pasar malam terbabit diperiksa sebelum peniaga yang disyaki menggunakan pewarna dikesan.

Beliau berkata, sampel ikan yang dijual kemudian diambil oleh anggota Pejabat Kesihatan Kota Kinabalu untuk siasatan lanjut Kementerian Kesihatan (KKM) sama ada pewarna terbabit berbahaya atau tidak.

“DBKK melakukan pemeriksaan di Pasar Malam Inanam susulan aduan pewarna yang digunakan pada ikan yang dijual dan kita dapat mengesan penjaja yang disyaki menggunakan pewarna untuk mewarnakan ikan.

“Sampel ikan dibawa ke makmal oleh pihak KKM untuk siasatan lanjut dan hasilnya nanti akan dimaklumkan kepada JKPB DBKK untuk tindakan lanjut,” katanya.

Beliau berkata jika bahan pewarna yang digunakan mengandungi bahan berbahaya, tindakan sewajarnya akan diambil terhadap peniaga yang menggunakan bahan berkenaan.

Sebelum ini, tular perbuatan peniaga ikan di pasar malam menggunakan bahan pewarna yang dipercayai untuk menjadikan ikan kelihatan segar, dengan kebiasaannya mereka menggunakan pewarna merah untuk mencelup ikan yang berwarna merah, seperti ikan mata besar atau lebih dikenali sebagai ikan ‘Uji Rashid’ di Sabah.

Tindakan itu dipercayai bagi mengaburi pengguna dengan mendakwa ikan yang dijual mereka masih baharu dan segar berikutan warna merahnya yang lebih terang.

Perbuatan terbabit tular selepas gambar memaparkan seorang lelaki memasukkan pewarna merah dalam sebuah tong berisi ikan tular di media sosial baru-baru ini yang dipercayai dirakam di Pasar Malam Inanam.

Sumber: Harian Metro

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here