Pengurus Syarikat Lesap RM160,000 Terpedaya Pelaburan Saham ‘Online’

0
106
Foto: Suara Merdeka

KUCHING, 30 Oktober- Seorang lelaki mengalami kerugian kira-kira RM160,000 selepas menjadi mangsa penipuan sindiket pelaburan saham wang menerusi grup WhatsApp.

Menerusi satu kenyataan, Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata lelaki berusia 40-an yang bekerja sebagai pengurus syarikat di Bau itu pada mulanya tertarik dengan iklan belajar pelaburan dalam talian semasa melayari laman sosial Facebook pada pertengahan September lalu.

Beliau berkata, kemudian nombor telefon mangsa dimasukkan ke dalam grup WhatsApp ‘Stock Exchange Group’ sebelum diajar cara membuat pelaburan dalam pasaran saham oleh seorang lelaki dikenali sebagai ‘Jerry’ yang mengaku sebagai pengurus kewangan syarikat menawarkan pelaburan tersebut.

“Setelah mendengar penerangan daripada suspek, mangsa telah berminat dan membuat pelaburan melalui sebuah laman web.

“Mangsa kemudian telah melakukan lima transaksi pemindahan wang berjumlah kira-kira RM160,000 ke dua akaun bank atas nama syarikat yang berlainan pada Oktober.

“Mangsa hanya menyedari ditipu apabila gagal mengeluarkan keuntungan pelaburan berjumlah RM20,000 berikutan akaun pelaburan tersebut telah dibekukan. 

“Malah, suspek turut mengarahkan mangsa membuat pembayaran tambahan untuk membolehkan dia melakukan pengeluaran wang,” katanya dalam kenyataan tersebut.

Jelas Mohd Azman, mangsa telah membuat laporan polis pada 28 Oktober lepas dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu menipu yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh dikenakan sebat dan denda, jika sabit kesalahan.

Beliau turut menasihatkan orang ramai agar membuat pelaburan di platform yang berdaftar dengan Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia serta tidak mudah mempercayai pelaburan yang menawarkan kuntungan lumayan dalam masa yang singkat.

“Orang ramai disarankan untuk membuat semakan senarai syarikat dan laman sesawang yang tidak diberi kebenaran atau kelulusan di www.bnm.gov.my/bnm TELELINK 1-300-88-5465 (BANK NEGARA MALAYSIA) dan www.sic.com.my/(603) 62048999 (Suruhanjaya Sekuriti Malaysia).

“Oang ramai boleh menghubungi National Scam Response Center (NSRC) di talian 997 jika anda merupakan mangsa penipuan siber (phone scam, love scam, e-dagang, pinjaman tidak wujud dan sebagainya) dan sekiranya anda baru sahaja membuat transaksi pemindahan wang ke mana-mana akaun bank atau e-wallet suspek.

“Anggota masyarakat juga dinasihatkan untuk memuat turun aplikasi ‘Whoscall’ melalui Google Play store atau Apple Store untuk membantu anda membuat keputusan sama ada mahu menjawab panggilan telefon yang diterima atau sebaliknya. Kerjasama antara JSJK PDRM dengan pembangun aplikasi ‘Whoscall’ membolehkan nombor telefon yang tersenarai dalam pangkalan data sistem semak mule JSJK akan ditandakan sebagai ‘scammer’,”katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here