KUALA LUMPUR, 5 Disember- Kerajaan dijangka mengumumkan kenaikan gaji serta beberapa lagi berita gembira buat penjawat awam dan pesara pada tahun depan.
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata perkara berkenaan kelak akan diumumkan oleh Perdana Menteri atau Ketua Setiausaha Negara (KSN).
“Bagi mereka yang masih berkhidmat, pertama kita telah luluskan kertas putih Dasar Gaji Progresif bagi pekerja di sektor swasta, jadi bermula 2024 pelaksanaannya kita harap akan dapat memberi peningkatan pendapatan bagi pekerja sektor swasta.
“Pada masa sama bagi sektor awam, Perdana Menteri telah sebut sebelum ini kita ada mengkaji semula (skim gaji) dan menjelang 2024, insya-Allah gaji bagi penjawat awam akan naik,” katanya.
Sebelum ini, Perdana Menteri memaklumkan kerajaan akan menaikkan gaji kira-kira 1.6 juta penjawat awam dalam amaun kecil buat sementara waktu melalui Belanjawan 2024 sebelum kenaikan berkala bagi setiap 10 tahun.
Fahmi, dalam ucaptama pada forum Sistem Penyampaian Perkhidmatan Awam: Menjadikannya Lebih Cekap dan Berkesan anjuran Persatuan Alumni Pegawai Tadbir Diplomatik (Alumni PTD) di lnstitut Tadbiran Awam Negara (INTAN) hari ini memaklumkan beliau difahamkan Jemaah Menteri telah mencapai beberapa keputusan yang membabitkan penjawat awam dan golongan pesara.
Sementara itu, dalam perkembangan berlainan, Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata kerajaan akan memastikan aspek keselamatan dan kesihatan awam sentiasa menjadi keutamaan pada penganjuran Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI yang akan berlangsung hujung minggu ini di perkarangan Stadium Nasional Bukit Jalil.
Bagi tujuan itu, pihaknya akan berpegang kepada arahan dan nasihat daripada Kementerian Kesihatan terutama berhubung kes COVID-19 yang dilaporkan meningkat sejak kebelakangan ini.
Antara tarikan sepanjang tiga hari program ialah penyampaian perkhidmatan secara langsung kepada rakyat, sesi libat urus Kementerian-kementerian bersama rakyat, Jualan Mega MADANI dan pengunjung juga berpeluang untuk melihat pencapaian Kerajaan melalui pameran pencapaian semua Kementerian berserta perancangan jangka masa panjang Kerajaan.
Majlis perasmian penutupan Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI bakal disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 10 Disember 2023 dan akan turut dihadiri oleh kepimpinan tertinggi Kerajaan Persekutuan.