Meskipun program realiti televisyen, The Chosen One 2024, sudah melabuhkan tirai, penyanyi Aepul Roza, 36, memberitahu dia akan terus memberi bimbingan kepada anak didiknya, Kiki Fateha, 13, untuk melangkah jauh dalam bidang nyanyian.
Vokalis kumpulan Drama Band itu berkata, selaku jurulatih, dia juga mempercayai dengan bakat nyanyian yang dimiliki penyanyi cilik kelahiran Sabah itu.
“Saya kagum pada bakat nyanyian dimiliki Kiki dan menyukai kualiti vokal yang ada padanya.
“Saya juga meminati cara dia berfikir dan bekerja sepanjang lapan minggu saya membimbingnya dalam program realiti ini.
“Saya percaya perjalanan kerjaya nyanyian Kiki tidak akan terhenti dalam program realiti ini sahaja.
“Masih jauh lagi perjalanan karier nyanyiannya dan saya mahu membantunya membina nama dalam industri seni tanah air,” kata Aepul pada sidang media selepas konsert akhir, program The Chosen One musim kedua.
Pada konsert akhir itu, Kiki dinobatkan sebagai juara dan berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM30,000, trofi dan berpeluang merakamkan sebuah lagu bersama label Rocketfeul Entertainment.
Aepul turut membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000 sempena kemenangan anak didiknya itu.
Mengenai kejayaan Kiki lagi, kata Aepul, selaku jurulatih, dia hanya menjalankan tugas yang diamanahkan sebaik mungkin untuk membimbing bakat peserta cilik itu sepanjang lapan minggu bersaing dalam program realiti nyanyian terbabit.
“Saya hanya melakukan sehabis baik 110 peratus untuk membimbing anak didik supaya kita tidak ada sebarang penyesalan selepas persembahan selesai.
“Soal menang atau kalah itu perkara kedua dan kemenangan Kiki juga saya anggap rezeki dari Tuhan,” katanya.
Pada konsert akhir juga, Kiki berjaya memukau barisan juri melalui lagu Butter (BTS), Kau Kekasihku (Datuk Seri Siti Nurhaliza) dan Jangan Kau Mimpi (Allahyarhamah Siti Sarah).
Mengenai perancangan menghasilkan lagu duet untuk Kiki pula, kata Aepul juga juara program The Hardest Singing Show musim pertama, dia dalam proses menyiapkan sebuah lagu duet bersama Kiki yang dijangka siap dalam tempoh dua bulan lagi.
“Saya dalam proses menghasilkan lagu duet yang juga hadiah untuk Kiki.
“Setakat ini, lagu duet yang dihasilkan untuk Kiki sudah separuh siap.
“Saya buat lagu itu untuk memastikan ada kesinambungan dalam karier nyanyian Kiki selepas program realiti The Chosen One musim kedua berakhir,” katanya yang menganggap Kiki mempunyai kelebihan dalam genre rock balada dalam persembahan.
Sumber – Hariann Metro