PETALING JAYA – Difitnah digari dan bermata lebam, artis versatil Alif Satar yang kesal apabila teknologi Artificial Intelligence (AI) digunakan segelintir pihak untuk memalukan orang lain meminta netizen melaporkan perbuatan tersebut.
Alif atau nama sebenarnya Muhammad Alif Mohd Satar, 34, berkata dia juga antara mangsa apabila gambarnya disunting dan dimuat naik dalam sebuah laman sosial, sekali gus mengundang salah faham.
“Hai, Alif perasan sejak akhir-akhir ini banyak gila berita palsu termasuklah gambar-gambar fasal saya.
“Zaman sekarang ini penggunaan ‘Artificial Intelligence’ (AI) memang seronok tetapi ia juga boleh menjadi fitnah kepada seseorang dan boleh bagi impak negatif kepada imej mereka.
Jadi kalau kalian nampak benda pelik- pelik fasal Alif ke, fasal ahli keluarga kalian ke apa ke, jalankan tugas untuk buat report. Kalian tengok macam ini, aku pula kena hahaha,” katanya dalam hantaran Instagram.
Menerusi perkongsian sama, Alif yang laris sebagai duta produk meminta orang ramai berwaspada terhadap fitnah akhir zaman.
“Pelik betul zaman sekarang. Jadi doa banyak-banyak, kita berada di zaman fitnah. Sentiasa berjaga-jaga.
Kepada pasukan Meta, mari kita buat kempen semula. Bagi kesedaran kepada semua orang,” katanya.
Menerusi ruangan komen, rata-rata sependapat dengannya bahkan turut menyedari kebelakangan ini ramai selebriti menjadi mangsa berita palsu.
Ramai peminat penyanyi, pelakon dan pengacara terbabit memaklumkan sejak beberapa hari lalu gambar selebriti lain termasuk Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Amyra Rosli turut disunting tangan bergari.
Kami percaya berita itu palsu, cuma risau mak bapa kita selalu percaya dengan berita begini,” kata seorang pengikutnya.
“Setuju. Bukan awak sahaja yang terkena. Apa jadi pada dunia sekarang,” tulis seorang netizen.
Sumber – Kosmo! Online