PUTRAJAYA- “Saya tidak akan sesekali maafkan pengasuh, tergamak buat begitu sampai patah paha anak”.
Itu luahan bapa kepada bayi perempuan berusia empat bulan yang mengalami patah paha kanan dipercayai dipulas pengasuh ketika dalam jagaan wanita berusia 25 tahun di Dengkil, Selangor minggu lalu.
Menurut Muhammad Faridzuwan Kamaruddin, 30, dia begitu kecewa dengan perbuatan pengasuh yang sanggup menganiaya seorang bayi yang masih kecil dan tidak berdosa.
“Pada mulanya saya langsung tidak mengesyaki apa-apa kerana pengasuh itu mendakwa dia pernah bekerja di pusat asuhan kanak-kanak sebelum ini.
“Air muka nampak sangat baik, dia pula belum ada anak lagi dan hanya menjaga anak saya seorang sahaja,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Mengulas lanjut, Muhammad Faridzuwan berkata, ketika ini, mereka masih menunggu perkembangan daripada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Katanya, dia juga akan berbincang dengan pihak peguam selepas kes itu disahkan dibawa ke mahkamah.
“Buat masa ini, keadaan anak masih tidak aktif seperti sebelum ini, namun puteri kami sudah dapat menyusu dengan baik.
“Jadi, buat sementara waktu, isteri saya mengambil cuti dan akan bekerja dari rumah sehingga hujung tahun untuk menjaga anak. Kami masih trauma hantar anak untuk dijaga orang lain.
“Berkemungkinan selepas ini Nur Qaseh akan dijaga ibu saya walaupun dia berada di Johor,” katanya.
Kosmo! hari ini melaporkan Nur Qaseh disyaki didera dalam kejadian berlaku 15 November lalu selepas mengalami patah paha.
Doktor mengesahkan kecederaan dialami bayi berkenaan mungkin kerana dipulas dan bukannya menggeliat seperti didakwa pengasuh terbabit.
Sumber: Kosmo