Kuala Lumpur: Usahawan dan pempengaruh media sosial terkenal, Haliza Maysuri mencuri perhatian ramai apabila menggayakan busana berharga RM250,000 dalam sebuah acara di hotel dekat sini, baru-baru ini.
Busana rekaan Datuk Rizalman Ibrahim menerusi jenama Rizalman Couture itu tular di media sosial dan meraih lebih sejuta tontonan di aplikasi TikTok milik Haliza.
Istimewanya lagi mengenai busana itu, ia dihiasi 83,900 batu Swarovski dan memakan masa selama setahun untuk disiapkan.
“Gaun ini mengambil masa selama setahun untuk disiapkan dan fabriknya diimport daripada United Kingdom.
“Ia dijahit satu persatu. Sebenarnya sebelum berjumpa Rizalman, saya sudah mencari beberapa pereka fesyen di Turki, tetapi agak sukar kerana perlu ‘fitting’ selain kena ulang alik nanti.
“Jadi, saya rasa pereka fesyen yang dapat memenuhi kehendak saya ialah Rizalman. Saya sangat yakin dengan kebolehan beliau dan inilah hasilnya. Alhamdulillah saya teruja dan berpuas hati apatah lagi suami.
“Harganya… Kalau saya sebut tak riak kan? Harganya RM250,000. Tapi Alhamdulillah saya puas hati. Apalah sangat, kita saling menyokong sesama usahawan di Malaysia,” katanya.
Menggayakan busana itu pada majlis makan malam bertemakan Magnificent Century di sebuah hotel terkemuka, Haliza yang juga pengasas Bawal Exclusive turut membuat bidaan untuk rekaan tudung pertama yang dikeluarkan iaitu Bawal Tabur.
Ia bermula dengan harga serendah RM25 serta berjaya dibida dengan harga RM78,000 dan hasil jualan tersebut akan disalurkan ke Tabung Kemanusiaan Palestin (Malaysia Medical Relief Society).
Sumber: Harian Metro