Pengantin Pilih Hantaran Gula, Bawang, Dapat Jimatkan Kos

0
187
Foto: Harian Metro

Bentong: “Saya tidak anggap idea menyediakan hantaran perkahwinan berupa barangan keperluan asas ini ‘gila’, sebaliknya ia memudahkan dan sebagai simbolik kepada minat saya suka memasak.”

Siti Masnida Abdul Malek, 36, yang mendapat perhatian di TikTok selepas video perkongsian barang hantaran perkahwinan bersama suami, Mohd Yusri Md Yunus, 36, meraih tontonan ramai, baru-baru ini.

Mereka disatukan pada 31 Disember lalu berbalas dulang hantaran berupa barangan dapur seperti cili, gula, garam, ikan sardin, minyak masak, bawang, halia, telur, rempah ratus dan pes perencah tomyam.

Siti Masnida berkata, pemilihan barangan itu ideanya dan mendapat sokongan keluarga selain mengakui semua barangan disediakan dengan bajet di bawah RM100 bagi satu pihak.

Menurutnya, pada mulanya suami mahu memberikan barangan hantaran seperti minyak wangi, beg tangan, jam dan kasut, namun ia bukan menjadi keutamaannya kerana dia sudah memiliki semua barangan itu.

“Hantaran itu dibuat bukan kerana kami tiada kemampuan, tetapi saya mahu sesuatu yang berbeza mengikut kemahuan. Saya bukan seorang suka memakai banyak barang, dan saya suka memasak jadi sebab itu pilih barangan dapur.d

“Idea itu datang seminggu sebelum majlis dan kami beli barang pihak lelaki membabitkan kos RM85 untuk lima dulang hantaran manakala saya tujuh dulang dengan kos bawah RM50 saja kerana ada sebahagian barang seperti bawang diambil di rumah saja,” katanya.

 

SITI Masnida bersama suami, Mohd Yusri. FOTO Ihsan Siti Masnida Abdul Malek
SITI Masnida bersama suami, Mohd Yusri. FOTO Ihsan Siti Masnida Abdul Malek

 

Wanita berasal dari Kampung Shafie di sini berkata, biarpun segelintir beranggapan barangan seperti baju, kasut dan beg tangan akan menjadi tanda kenangan sempena majlis bermakna itu namun baginya semua barangan itu sudah dimiliki dan boleh dibeli pada bila-bila masa.

“Pada saya yang menjadi keutamaan apa yang kita suka dan soal mampu atau tidak, itu menjadi nombor dua. Sebelum ini suami sudah banyak memberi hadiah dan saya memang tidak kisah dengan pandangan orang.

“Apa yang penting saya suka dan keluarga juga sokong. Ketika kami hantar barangan itu kepada pihak lelaki untuk dijadikan hantaran dan mereka menerimanya dengan baik.

“Saya gubah sendiri hantaran saya dan dua hari sebelum nikah baru saudara dan jiran tahu mengenai hantaran itu,” katanya.

Siti Masnida berkata, kelebihan memilih barangan itu bukan saja memuaskan hatinya, malah ia juga menjimatkan kos, sekali gus memberi wang tambahan untuk mereka berbulan madu di Sabah kelak.

“Walaupun semua barangan itu sudah digunakan, tetapi ia tetap menjadi kenangan kami dan berterima kasih dengan kiriman doa serta komen positif manakala yang sebaliknya kami abaikan saja,” katanya menguruskan perniagaan keropok lekor abangnya manakala suami bekerja sebagai anggota polis.

Sumber: Harian Metro

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here