KOTA BHARU, 28 November- Penganjur konsert sempena Pesta Loy Kratong bakal dikenakan denda mlebih RM10,000 berikutan pelanggaran syarat ketika konsert berlangsung di Bachok, Jumaat lepas.
Pengerusi Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar, Hilmi Abdullah berkata konsert berkenaan gagal mematuhi sebahagian peraturan ditetapkan.
Bagaimanapun ianya tidak melanggar Enakmen Kawalan Hiburan Kelantan kerana mempunyai permit untuk penganjuran.
“Pihak penganjur memohon permit untuk acara berkenaan pada 25 Jun dan permit hanya diluluskan pada 20 Sept selepas kita menjelaskan syarat dan peraturan yang perlu dipatuhi termasuk lokasi penganjuran tertutup serta hanya dihadiri penganut agama mereka sahaja.
“Bagaimanapun pihak penganjur gagal mematuhi sebahagian peraturan ditetapkan dan antara kesalahan dikenal pasti adalah menampilkan penyanyi dari Thailand yang tidak mematuhi etika pemakaian selain membenarkan pengunjung beragama Islam ke konsert berkenaan,” katanya.
Hilmi mengulas kenyataan Ketua Wanita PKR Kelantan Nor Azmiza Mamat yang menuntut kerajaan negeri menyiasat satu konsert memaparkan kumpulan penyanyi wanita dari Thailand yang berpakaian mencolok mata.
Konsert tersebut didakwa dianjurkan di Kampung Balai, Bachok, pada Jumaat lepas.
Beliau berkata susulan video berkenaan, pihaknya sudah melakukan siasatan dan proses pendengaran semalam yang dihadiri beberapa pihak termasuk wakil Majlis Daerah Bachok Bandar Pelancongan Islam, pihak polis, pejabat agama dan penganjur.
“Pihak penganjur mengakui anggota Rela yang diupah di konsert berkenaan, gagal mengawal keadaan sehingga acara itu turut dikunjungi pengunjung beragama Islam.
“Poster berhubung acara berkenaan sudah dibuat dalam bahasa Thailand dan konsert keagamaan yang diadakan secara tahunan itu hanya untuk penganut beragama Buddha,” katanya.