Penganjur Konsert Coldplay Larang Penonton Menunggu Atau Bermalam Di Sekitar Stadium

0
61
Foto: Kosmo

PETALING JAYA – Tidak dibenarkan menunggu artis di luar dan dalam lokasi konsert atau bermalam di kawasan sekitar Stadium Nasional Bukit Jalil antara peringatan penganjur konsert Coldplay: Music Of The Spheres World Tour In Kuala Lumpur kepada penonton.

Menurut Live Nation Malaysia, perkara tersebut digariskan kerana tindakan sebegitu boleh menggugat keselamatan artis serta orang awam lain.

Malah penganjur turut menegaskan boleh menahan mana-mana individu yang didapati mencetuskan masalah sepanjang konsert mega yang dijadualkan berlangsung pada 22 November depan itu.

“Sebarang kelakuan berniat jahat membuatkan individu terbabit tidak dibenarkan memasuki lokasi persembahan dan mungkin diserahkan kepada pihak polis untuk didakwa.

“Selain itu, penonton dilarang melakukan sebarang perbuatan yang menyentuh sensitiviti rakyat Malaysia.

“Bagi mencipta atmosfera kenangan indah buat semua, penonton diminta hormati budaya masyarakat tempatan.

“Pengunjung juga disaran tidak menunjukkan barangan yang mencetuskan rasa kurang senang orang lain,” tulis garis panduan yang dikongsikan di laman sosial rasmi Live Nation Malaysia

Pada masa sama, penganjur turut menegaskan artis, penganjur dan pihak penyedia lokasi tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kemalangan dan insiden yang diakibatkan tindakan penonton.

Dalam hantaran tersebut, Live Nation Malaysia menyenaraikan barangan yang dilarang dibawa masuk ke dalam stadium sepanjang konsert berlangsung.

Antaranya makanan dan minuman, binatang peliharaan, komputer riba, beg besar mahu pun gajet, selain barangan merbahaya seperti mercun, minuman keras, topi keledar dan pen laser.

Sementara itu, bagi penebusan tiket atau gelang tangan, kaunter dijadualkan dibuka seawal pukul 12 tengah hari pada hari konsert, manakala pintu stadium hanya akan dibuka pada pukul 5 petang.

Dijangkakan, seramai 85,000 penonton bakal memenuhi stadium berkenaan bagi menyaksikan persembahan mega band ikonik asal United Kingdom yang dibarisi Chris Martin, Johny Buckland, Guy Berryman dan Will Champion.

Siri jelajah dunia Coldplay bermula sejak Mac tahun lalu lagi dan bahkan kumpulan itu mencatat rekod antara artis yang menjual tiket terbanyak dan terlaris dunia.

Di Malaysia, tiket konsert Coldplay: Music Of The Spheres World Tour berharga antara RM228 ke RM3,088 yang dijual pada 17 Mei lalu ‘licin’ disambar peminat tegar mereka hanya dalam tempoh tiga jam.

Terdahulu, pada Mei lalu, Coldplay mengumumkan bakal mengadakan konsert jelajahnya di beberapa negara Asia termasuk Jepun, Taiwan, Indonesia, Australia dan Malaysia bermula 6 November depan.

Singapura menjadi satu-satunya negara Asia yang terpilih menjadi lokasi konsert Coldplay selama empat hari berturut-turut bermula 23 hingga 27 Januari 2024.

Demam konsert Coldplay berterusan sehingga mencetuskan pelbagai kontroversi dan terbaru agamawan meminta konsert ini dibatalkan sebagai tanda sensitiviti terhadap konflik berdarah di Palestin.

Sumber: Kosmo

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here