Penganggur Tiga Anak Dipenjara 15 Tahun Rogol Anak Kenalan Sendiri

0
112

KLANG, 28 Disember- Mahkamah Sesyen Klang hari ini menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan tiga sebatan terhadap seorang penganggur selepas didapati bersalah merogol anak kenalannya, tahun lepas.

Hakim Syafeera Mohd Said menjatuhkan hukuman itu ke atas Mohamad Zainol Hafiz Mohamad Azmi, 26, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah pada akhir kes pembelaan.

Syafeera memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula hari ini, selain mengenakan perintah kaunseling sepanjang tempoh pemenjaraan dan pengawasan selama dua tahun selepas tamat tempoh hukuman.

Sejurus prosiding tersebut tamat, isteri tertuduh menangis di galeri mahkamah.

Mengikut kertas pertuduhan, Mohamad Zainol didakwa merogol seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun di sebuah rumah di Sawah Sempadan, Tanjong Karang.

Kesalahan itu dilakukannya pada 6 Februari 2022, pukul 4 pagi.

Dia didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan hendaklah juga dikenakan sebat.

Seramai enam saksi pendakwaan dan tiga saksi pembelaan termasuk tertuduh dipanggil memberi keterangan pada perbicaraan yang bermula pada 4 September lepas.

Terdahulu, pada prosiding tersebut jurubahasa yang membacakan penyataan impak menyatakan mangsa yang sebelum ini ceria telah bertukar menjadi kemurungan dan sedih serta tidak mahu bergaul dengan kawan-kawannya.

“Saya (mangsa) tertekan terhadap perbuatan suspek merogol saya. Ini menyebabkannya sukar tidur malam dan selalu terjaga di malam hari. Malah, saya tidur dibawah katil kerana merasakan ia tempat yang selamat.

“Saya berasa maruah diri telah tercalar dan kejadian rogol telah mengaibkan diri saya dan keluarga. Justeru, saya berharap mahkamah memberikan keadilan kepada saya dan memberikan hukuman yang berat terhadap perbuatan suspek sangat kejam dan telah menggelapkan masa depan saya,” ujarnya.

Tertuduh diwakili peguam Izzat Amir Saharudin manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul ‘Izzati Mohamad.

Terdahulu, Izzat Amir merayu hukuman ringan dengan alasan anak guamnya mempunyai tanggungan iaitu isteri dan tiga anak yang masih kecil.

“Ini adalah kesalahan kali pertama tertuduh, tertuduh kini tidak bekerja berikutan sukar mendapat pekerjaan selepas terikat dalam kes ini. Sebarang bentuk pendapatan hanya datang dari isterinya yang berniaga,” katanya.

Bagaimanapun, Nurul ‘Izzati Mohamad memohon hukuman berat dengan alasan ia adalah kesalahan yang serius dan berat selain kes itu melibatkan mangsa bawah umur.

“Mangsa juga mempunyai hubungan rapat dengan isteri dan anak-anak tertuduh. Sebagai orang dewasa sepatutnya menjaga dan melindungi kanak-kanak dan bukannya mengambil kesempatan ke atas mangsa yang berumur 12 tahun dengan melakukan perbuatan terkutuk,” katanya.

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here