KUALA LUMPUR, 16 Oktober- Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengambil tindakan undang-undang terhadap penerima Darjah Kebesaran Negeri Pahang yang mempamer atau melekatkan lambang darjah kebesaran pada kenderaan mereka.
Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain menerusi satu kenyataan berkata pihaknya mengambil maklum titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, yang memberi peringatan kepada penerima darjah kebesaran negeri itu, untuk tidak berbuat demikian.
“Tindakan mempamer atau melekatkan lambang darjah kebesaran pada kenderaan penerima darjah berkenaan boleh diambil tindakan bawah Seksyen 3(1)(D) Enakmen Lambang, Gelaran atau Anugerah (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) Pahang 2017 yang memperuntukkan tiada seorang pun boleh kecuali dengan kebenaran bertulis daripada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan, mempamer atau melekatkan apa-apa bahan yang mengandungi apa-apa lambang gelaran atau anugerah, atau apa-apa replika mengenainya kepada apa-apa kenderaan.
“Jika terdapat mana-mana kenderaan yang masih mempamerkan lambang darjah kebesaran negeri itu, maka tindakan akan diambil selaras dengan enakmen berkenaan,” katanya dalam kenyataan tersebut.
Semalam, Pengelola Bijaya Diraja Sultan Pahang Datuk Ahmad Khirrizal Ab Rahman dilapor berkata peringatan itu dibuat bagi menjunjung titah Al-Sultan Abdullah, yang kini bersemayam di Istana Negara.
Peringatan itu diberikan mengikut Enakmen Lambang, Gelaran atau Anugerah (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) Pahang 2017, melibatkan gelaran atau anugerah dikurniakan Sultan Pahang.