Penerbit RTM Mengaku Tidak Bersalah Terima Rasuah RM10,000

0
122
Foto: Utusan Malaysia

SHAH ALAM, 14 November- Seorang ketua penolong pengarah di Radio Televisyen Malaysia RTM mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam, atas pertuduhan menerima RM10,000 daripada seorang pemilik syarikat pada 2018.

Tertuduh, Suhaila Md. Zaini, 44, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud.

Berdasarkan pertuduhan, dia sebagai penerbit rancangan didakwa menerima wang berjumlah RM10,000 daripada pemilik Syarikat FRZ Production, Fahror Rozi Zulkefli melalui akaun bank miliknya.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah cawangan bank di Taman Sri Gombak, Batu Caves pada 13 Julai 2018.

Justeru, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Muaz Ahmad Khairuddin manakala Suhaila diwakili peguam Gurmit Singh Hullon Esq.

Muaz Ahmad kemudiannya menawarkan jaminan RM10,000 bagi pertuduhan itu dan memohon penyerahan pasport kepada mahkamah selain melaporkan diri kepada SPRM setiap bulan.

Bagaimanapun, peguam, Gurmit Singh Hullon yang mewakili Suhaila memohon pengurangan kerana anak guamnya turut dijangka didakwa atas pertuduhan lain, selain anak guamnya dijadualkan menunaikan ibadah umrah pada 1 hingga 15 Disember depan.

Awang Kerisnada kemudian membenarkan jaminan RM7,000 bersama seorang penjamin dan melaporkan diri setiap minggu pertama di pejabat SPRM Selangor serta tidak dibenarkan berhubung dengan mana-mana saksi pendakwaan.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 17 November ini bagi serahan dokumen pasport tertuduh.

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here