Penemuan Mayat Wanita Bogel Tanpa Kepala, Kaki Dan Tangan Di Alor Gajah

0
59
Foto: Utusan Malaysia

ALOR GAJAH – Suasana di Kampung Rimau, Pulau Sebang dekat sini gempar dengan penemuan mayat seorang wanita berbogel tanpa kepala, kaki dan tangan yang dibuang di dalam tong sampah di dalam longkang.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, mayat tidak cukup sifat itu telah ditemui oleh orang awam sebelum memaklumkan pada pihak polis pada pukul 2 petang, Ahad lalu.

Ujarnya, sepasukan pegawai bersama-sama Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka dan Hospital Alor Gajah telah ke lokasi untuk membuat pemeriksaan.

“Siasatan di tempat kejadian menemui mayat seorang wanita dalam keadaan berbogel disyaki berusia sekitar 20-an hingga 30-an yang tidak cukup anggota badannya.

“Kita percaya kepala, kedua-dua belah tangan dan kaki si mati telah dipotong. Anggota badan yang hilang bagaimanapun tidak ditemui di kawasan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

LOKASI penemuan mayat wanita tanpa seurat benang yang dikerat kepala, kaki dan tangan pada Ahad lalu.

Tambahnya, lokasi penemuan mayat adalah di tepi jalan raya dan terletak kira-kira 100 meter daripada sebuah rumah kosong.

Mengulas lanjut beliau berkata, mayat tersebut telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Alor Gajah bagi proses bedah siasat untuk mengetahui punca kematian serta kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Setakat ini polis telah membuat ujian asid deoksiribonukleik (DNA) ke atas dua kes orang hilang tetapi hasilnya negatif.

“Justeru saya menyeru kepada mana-mana pihak yang kehilangan ahli keluarga terdekat mahupun individu dikenali atau mempunyai maklumat kejadian untuk menghubungi balai polis berhampiran,” ujarnya.

Katanya, maklumat juga boleh disalurkan secara terus kepada Penyiasat Kanan Deputi Superintendan Mohd. Ali Hanafiah Hasim di talian 019-9536 277.

Sumber: Kosmo

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here