Thursday, November 7, 2024
HomeBERITAPenduduk Sedili Besar Terharu, Bersyukur Terima Bantuan Program Jiwa Murni KEMENTAH 2024

Penduduk Sedili Besar Terharu, Bersyukur Terima Bantuan Program Jiwa Murni KEMENTAH 2024

KOTA TINGGI – Penyerahan Program Jiwa Murni Kementerian Pertahanan 2024 (PJM KEMENTAH) yang telah disempurnakan pada 17 Julai lalu oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin adalah merupakan inisiatif Kementerian Pertahanan (MINDEF) dalam meringankan beban golongan asnaf dan fakir miskin yang telah dikenal pasti dari seluruh negara.

Program itu merupakan salah satu inisiatif MINDEF selaras dengan Teras 4 Pelan Strategik MINDEF (PSM) 2021 – 2025 iaitu Pengukuhan Kerjasama Awam-Tentera (CIMIC) Demi Pertahanan Menyeluruh bagi meringankan beban golongan terbabit.

Pada tahun ini, Tentera Darat Malaysia (TDM) menerusi Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) menerima peruntukan sebanyak RM3.23 Juta bagi melaksanakan Program Jiwa Murni KEMENTAH 2024 meliputi 91 penerima melibatkan bina baharu, selenggaraan dan pembaikan rumah asnaf veteran ATM, masjid atau surau, dewan serta pusat komuniti.

PENERIMA ANGGAP MEREKA BERTUAH TERPILIH DALAM PROGRAM JIWA MURNI KEMENTAH 2024

Para penerima menyifatkan mereka amat bertuah malah merupakan satu rahmat apabila dipilih dalam Program Jiwa Murni KEMENTAH 2024.

Rata-ratanya merasa terharu dan amat berterima kasih kepada MINDEF kerana dengan bantuan tersebut mereka dapat hidup dengan selesa.

Penerima terbabit, Jemah Musa yang berusia 70 tahun, melahirkan kesyukuran apabila rumahnya yang mengalami kerosakan bumbung akibat dipukul ribut pada 28 Mei lalu sudah siap dibaik pulih oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Mohd Hafiz mencuba suiz yang siap digantikan selepas rumah milik Jemah rosak dipukul ribut pada Mei lalu

“Bukan sahaja pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) membaiki bumbung tetapi juga membaiki dinding yang rosak dan pecah akibat kejadian ribut.”

“Sebelum ini kami tidak mampu baiki bumbung yang rosak kerana suami, Yusof Saad, 65, hanya bekerja sebagai nelayan dan anak-anak pula sudah berkeluarga dan mempunyai komitmen sendiri.”

“Buat sementara waktu sebelum bumbung rumah kami dibaiki, bahagian atas ditutup dengan kanvas bagi mengelak kebocoran ketika hujan dan kami pula menumpang tidur di rumah saudara,” katanya.

Jemah dan keluarganya berbesar hati dan bangga, apabila dipilih dalam Program Jiwa Murni Kementah 2024 dilancarkan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pada 17 Julai lalu.

“Kami bersyukur dan menadah tapak tangan berterima kasih kepada Allah dan wakil rakyat   yang bertungkus lumus menyiapkan rumah kami.”

“Pihak ATM yang bekerja menyiapkan rumah kami amat berdedikasi, mengikut masa dan rajin. Mereka hanya berhenti untuk solat dan makan sebelum menyambung kerja semula. Rumah saya pun dapat siap lebih awal daripada jadual asal.”

“Hanya Allah sahaja yang dapat membalas jasa mereka semua,” ujar pesara guru tadika Jabatan Kemajuan Masyarakat itu sambil menitiskan air mata.”

Namun ibu kepada tiga anak berusia 21, 25 dan 42 tahun itu masih mengingati kejadian ribut tersebut yang berlaku pada pukul 4.30 petang dan memusnahkan beberapa rumah di kawasan Sedili Besar.

“Semasa kejadian ribut dapat dilihat satu gumpalan angin datang dari laut di belakang rumah saya sebelum mengakibatkan bumbung terangkat dan sebahagiannya tercabut lalu diterbangkan angin kencang.”

“Mujur dalam kejadian tersebut tiada kecederaan atau kemalangan jiwa berlaku. Keluarga saya menerima hampir RM12,000 bantuan dalam Program Jiwa Murni Kementah 2024 untuk membaiki kerosakan yang ada,” katanya.

OKU JUGA ADALAH ANTARA PENERIMA PROGRAM JIWA MURNI KEMENTAH 2024

Seorang lagi penerima bantuan Program Jiwa Murni KEMENTAH 2024, Zamri Samsudin, 50, yang merupakan Orang Kurang Upaya (OKU) turut melahirkan kesyukuran apabila menjadi penerima bantuan Program Jiwa Murni KEMENTAH 2024.

Zamri Samsudin bersyukur apabila dipilih menjadi seorang penerima bantuan dalam PJM MINDEF yang membantu meringankan bebannya sebagai ketua keluarga

Bapa kepada empat anak berusia 10, 17, 22 dan 24 tahun itu kini boleh menarik nafas lega apabilla rumah mereka yang rosak di bahagian bumbung, longkang dan bilik air hampir siap dibaiki pihak ATM.

“Sebelum ini bahagian atap rosak dan bocor, setiap kali hujan kami terpaksa menadah air dengan besen terutama bahagian ruang tamu. Rumah kami hanya ada dua bilik.”

“Anak-anak kami biasa tidur di ruang tamu dan apabila hujan mereka akan masuk bilik atau pergi ke bahagian dalam rumah yang tidak bocor. Selain itu simen longkang dan lantai bilik air juga sudah pecah. Kami berdepan situasi ini dalam masa dua tahun.”

“Saya tidak mampu membaiki kerosakan yang ada. Saya hanya kerja kampung manakala isteri pula, Norainon Noranazar Nazarudin, 48, menghidap sakit buah pinggang yang perlu menjalani rawatan dialisis,” ujarnya.

Zamri yang kini berkerusi roda dan pernah bekerja di sebuah kilang 10 tahun lalu berkata, mereka bergantung hidup dengan bantuan bulanan RM620 daripada Baitulmal dan Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk perbelanjaan harian.

“Rumah kami dibina atas ihsan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) pada tahun 2010 manakala bantuan Program Jiwa Murni Kementah diperoleh selepas melakukan pelbagai usaha bertemu ketua kampung,  pergi ke pejabat kerajaan untuk mendapatkan bantuan tetapi dimaklumkan tiada peruntukan,” katanya.

Menurut Zamri, bantuan tersebut diperoleh selepas bertemu dengan Datuk Seri Mohamed Khaled dalam sebuah program baru-baru ini dan terharu apabila Menteri Pertahanan itu bersedia memberikan bantuan.

“Alhamdulilah selepas pergi ke sana sini meminta bantuan, akhirnya saya menerima bantuan Program Jiwa Murni KEMENTAH 2024. Saya mengucapkan terima kasih kepada semua terutamanya Datuk Seri Mohamed Khaled, MINDEF dan mereka yang membaiki rumah saya. Hanya tuhan sahaja yang dapat membalas jasa mereka.

“Anggota ATM yang terlibat buat kerja pantas dan memuaskan. Rumah pula siap lebih awal daripada dijadualkan. Asalnya tempoh masa siap dua minggu tapi siap dalam masa seminggu sahaja,” katanya.

Seorang anggota ATM yang terlibat dalam PJM MINDEF tekun membaiki longkang belakang rumah Zamri yang sudah pecah semennya

PENYELIA PROJEK LEGA KERJA BAIKI RUMAH BERJALAN LANCAR DAN SIAP LEBIH AWAL

Penyelia projek Program Jiwa Murni KEMENTAH 2024 di kampung, Sarjan Mohd Hafiz Roslan berkata, rumah Jemah merupakan kediaman pertama yang siap dibaik pulih dalam program berkenaan bermula 1 Ogos lalu dan siap dalam masa seminggu.

Mohd Hafiz memberitahu, seramai 10 anggota ATM telah terlibat dalam setiap rumah yang dibaiki serta mereka tidak mempunyai sebarang masalah kerana semuanya mempunyai pengalaman dan kepakaran.

“Ini membolehkan rumah Jemah dan Zamri dapat siap seminggu lebih awal. Selain itu pihak kami juga mendapat kerjasama yang sangat baik daripada tuan rumah,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

Taktik Tekong Darat Seludup PATI Guna Kereta Mewah Tumpas

0
TUMPAT - Taktik tekong darat menggunakan kenderaan mewah untuk menyeludup pendatang asing tanpa izin (PATI) terbongkar selepas berjaya dipatahkan oleh Batalion 8 Pasukan Gerakan...

CATEGORIES