BANDAR GAZA – Penduduk Palestin di Semenanjung Gaza dihujani bom yang digugurkan jet-jet tempur tentera Israel, menyasarkan bangunan kediaman dan infrastruktur awam, lapor akhbar The Guardian kelmarin.
Serangan dahsyat itu berlaku ketika pegawai-pegawai Rejim Zionis berikrar mengetatkan kepungan ke atas Gaza untuk menghukum penduduknya selepas pejuang Hamas melancarkan serangan besar-besaran dan mengejut ke atas Israel, Sabtu lalu.
“Saya dapat lihat kepulan asap pengeboman Israel melalui tingkap saya. Bom-bom jatuh di sekeliling kami. Kami tidak dapat menjangkakan di mana bom seterusnya akan jatuh dan meletup. Saya boleh menghidu bau serbuk letupan sekarang.
“Situasi sangat menakutkan. Kami tidak tahu apa yang berlaku di sekeliling kami. Kami sangat takut.
“Selama dua hari, kami berjaga dan mendengar bom-bom jatuh di sekeliling kami tanpa mengetahui apa yang akan berlaku. Kami seolah-olah tidak dapat membezakan sama ada berada dalam realiti atau mimpi ngeri,” kata seorang pelajar universiti, Rama Abu Amra, 21, yang bercakap melalui panggilan telefon dari selatan Bandar Gaza.
Semasa wawancara itu, dia menjerit apabila mendengar bunyi letupan berhampiran dengannya.
Jet-jet rejim Zionis terus membedil Semenanjung Gaza semasa memerangi pejuang Hamas di Gaza yang menyaksikan lebih 600 penduduk Palestin terkorban.
Kementerian Kesihatan Palestin berkata, seramai 560 orang termasuk kanak-kanak terbunuh dalam serangan udara Israel ke atas Semenanjung Gaza dan sekurang-kurangnya 2,900 yang lain cedera.
Angka korban dan kecederaan tersebut adalah setakat kelmarin.
Rama turut menyuarakan kebimbangannya selepas berita tersebar bahawa Israel telah mengarahkan apa yang disifatkan oleh Menteri Pertahanannya, Yoav Gallant sebagai kepungan sepenuhnya ke atas Gaza.
Rejim Zionis bertindak menutup bekalan elektrik, air dan menyekat kemasukan bantuan makanan serta bahan api.
Menteri Infrastruktur Israel, Israel Katz berkata, beliau telah memberi arahan untuk memotong bekalan air ke Gaza yang menempatkan kira-kira 2.3 juta penduduk, hampir separuh daripada mereka adalah kanak-kanak.
“Apa yang ada pada masa lalu, tidak akan lagi ada pada masa hadapan,” katanya.
Pusat Hak Asasi Manusia Al Mezan Gaza melahirkan rasa marah terhadap keputusan itu dengan berkata: “Ini adalah hukuman kolektif terhadap dua juta penduduk Palestin dan jenayah perang yang tidak pernah berlaku sebelum ini.
Penduduk Palestin di Gaza juga bimbang tindakan Israel itu akan menjejaskan keupayaan mereka untuk berkomunikasi dengan orang tersayang dan dunia luar. Ia berikutan akses internet dan bekalan elektrik semakin terhad.
“Kami boleh menggunakan kad internet selama beberapa jam, tetapi ia tidak sebaik rangkaian biasa. Kami juga tiada bekalan elektrik. Jika ada, ia sangat lemah sehinggakan saya tidak dapat mengecas telefon bimbit untuk berhubung dengan dunia luar,” kata Rama.
Menjelang waktu malam, liputan telefon dan internet terputus di sebahagian besar Semenanjung Gaza selepas jet-jet tempur Israel membedil bangunan milik Syarikat Telekomunikasi Palestin, demikian menurut agensi berita Turkiye, Anadolu.
Israel mengarahkan orang awam di Gaza untuk mengosongkan kawasan kejiranan di utara wilayah itu dan mendakwa tenteranya menyasarkan infrastruktur dan anggota Hamas tetapi Ayed Abu Eqtaish daripada kumpulan hak asasi Pembela Kanak-Kanak Palestin berkata, pengeboman itu menyasarkan kediaman dan infrastruktur awam.
Sumber: Kosmo