Pendakwah Diingat Bersikap Cermat Dan Tawadhu’ Ketika Mengulas Persoalan Agama

0
158
Foto: Harian Metro

KUALA LUMPUR, 23 Disember- Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) berasa sungguh kesal dengan kegopohan seorang pendakwah yang telah mengeluarkan bahasa kasar hingga membuat tohmahan bahawa pemimpin negaran sebagai sesat serta jahil ketika membincangkan iktibar dari kisah Ashabul Kahfi (pemuda al-Kahfi) di dalam al-Quran kepada para
penjawat awam baru-baru ini.

Menterinya, Datuk Dr Mohd Nai’im Mokhtar menyifatkan tuduhan tersebut amatlah ekstrem serta keterlaluan.

“Para agamawan di negara ini diingatkan agar bersikap cermat, memelihara adab dalam menyampaikan dakwah, tawadhu’ dalam menyebarkan risalah agama agar tidak terjebak dengan penyakit takabbur dengan ilmu yang dimiliki.

“Para pendakwah perlu menghayati nilai-nilai hikmah demi memelihara kemaslahatan perpaduan masyarakat yang berakhlak,
bersatu padu dan sejahtera. Sebarang ucapan dan ceramah yang berbaur sentimen perpecahan dan kebencian sesama sendiri adalah perlu dihentikan”katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas tindakan seorang pendakwah yang mencemuh dan membuat tohmahan terhadap seorang pemimpin negara yang disifatkan sebagai sesat serta jahil ketika membincangkan kisah Ashabul Kahfi (pemuda al-Kahfi) di dalam al-Quran kepada penjawat awam, baru-baru ini.

Mohd Na’im berkata hakikatnya, pemimpin negara itu tidak pernah menyifatkan para pemuda Ashabul Kahfi sebagai golongan tidak beriman, sebaliknya mempertegaskan keimanan mereka dalam ucapan beliau dan mengajak penjawat awam mengambil iktibar daripada kisah mereka.

Malah, beliau berkata huraian pemimpin negara itu terhadap konteks peristiwa itu juga adalah tepat sebagaimana rujukan sumber tafsir dan tulisan ilmiah iaitu kisah Ashabul Kahfi berlaku di zaman pemerintahan kaum Nasrani atau Kristian.

Beliau berkata huraian pemimpin negara itu juga selari dengan penjelasan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan yang boleh dirujuk dalam “Irsyad Al-Hadith Siri ke-50: Kisah dan Bilangan Ashabul Kahfi” dikeluarkan pada April, 2016 dan “Bayan Linnas Siri ke-286: Adakah Ashab al-Kahfi Beragama Kristian?” pada Disember, 2023.

Justeru, Mohd Na’im menyeru umat Islam untuk sentiasa merujuk isu dan permasalahan keagamaan kepada pihak berkuasa agama Islam seperti Pejabat atau Jabatan Mufti Negeri dan Jabatan Agama Islam Negeri yang berautoriti dalam perkara berkaitan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here