Penamatan Skim Perubatan Madani Perlu Dikaji Semula, Jejaskan B40

0
64
Foto: UtusanTV

Georgetown: Penamatan pelaksanaan Skim Perubatan Madani (SPM) berkuat kuasa serta-merta Isnin lalu perlu dikaji semula kerajaan berikutan ia jelas memberi kesan kepada golongan B40.

Pegawai Pendidikan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), NV Subbarow berkata, tindakan menamatkan SPM akan menimbulkan kesesakan di klinik kerajaan berikutan peratusan rakyat Malaysia menghidap penyakit tertentu seperti diabetes, darah tinggi serta jantung kian meningkat setiap hari.

“Ia adalah berita yang mengejutkan. Tidak wajar bagi kerajaan memilih 10 daerah sahaja untuk pelaksanaan skim berkenaan susulan pemberian rawatan kesihatan demi kesejahteraan rakyat perlu dilakukan secara menyeluruh.

“Kita tahu klinik dan hospital kerajaan mampu tampung jumlah pesakit yang banyak cuma kerajaan perlu lihat daripada segi bebanan dan peruntukan masa seseorang doktor bagi menemui pesakit.

“Contohnya jika pergi klinik kerajaan perlu menunggu lama namun konsultasi bersama doktor hanya lima minit, mungkin ramai akan elak mendapatkan rawatan dan ia merisikokan negara kerana perlu menampung rakyat berpenyakit termasuk kos ubati sakit itu lebih banyak berbanding diberi rawatan awal,” katanya di sini, semalam.

Menurut Subbarow, tindakan penamatan serta-merta itu juga akan menimbulkan bebanan kepada doktor kerajaan berikutan bukan semua orang mampu membeli perlindungan insurans bagi mendapatkan rawatan di hospital swasta.

“Sehubungan itu, kita harap kerajaan mengkaji semula penamatan SPM yang memberi manfaat kepada seluruh rakyat di negara ini tambahan golongan B40,” katanya lagi.

Media sebelum ini melaporkan, berkuat kuasa 26 Februari lalu, SPM akan diperhalusi bagi memberi tumpuan kepada daerah dan penerima tertentu dalam meningkatkan keberkesanan, kemampanan dan memaksimumkan impak skim berkenaan.

Pelaksanaan perubahan utama kepada program itu akan tertumpu kepada 10 daerah yang ditetapkan iaitu Kuala Lumpur, Gombak, Hulu Langat, Petaling Jaya, Klang (Selangor); Johor Bahru (Johor); Kinta (Perak), Timur Laut (Pulau Pinang); Kota Kinabalu (Sabah), dan Kuching (Sarawak).

ProtectHealth Corporation (ProtectHealth) berkata, dengan perubahan itu, kelayakan penerima SPM akan memberi fokus kepada isi rumah berdaftar di 10 daerah ini sahaja dan pesakit yang pernah menerima rawatan boleh menggunakan sehingga peruntukan skim berkenaan digunakan sepenuhnya.

Sumber: Kosmo

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here