PETALING JAYA – Pelakon Nelydia Senrose menjadi bualan peminat apabila dikatakan sudah tidak lagi bertudung.
Perkara tersebut dibangkitkan selepas Nelydia atau nama sebenarnya, Nik Zaris Nelydia Nik Sen menukar gambar profil Instagram dirinya tidak lagi manis bertudung seperti sebelum ini.
Berdasarkan pemerhatian, tetapan gambar profil Nelydia, 29, jelas memperlihatkan rambutnya berwarna perang duduk di atas katil dengan busana berona hitam gelap.
Beberapa minggu lalu, Nelydia sekadar mengenakan topi ketika bercuti bersama saudara terdekat dan beberapa rakan wanita di Bangkok, Thailand.
Perkongsian terbabit mengundang persoalan dalam kalangan peminat berhubung penampilannya yang begitu santai.
Menerusi satu muat naik sepupunya yang juga pelakon, Aprena Manrose dalam Instagram, kelihatan beberapa keping gambar Nelydia yang sekadar bertopi termasuk di hadapan pintu bilik dipercayai tempat penginapan mereka.
Usaha Kosmo! untuk mendapatkan penjelasan lanjut berhubung sama ada dia tidak lagi bertudung bagaimanapun menemui kegagalan apabila panggilan telefon dimatikan.
Adik kepada pelakon Uqasha Senrose itu mula bertudung sejak 2022.
Sumber: Kosmo