PETALING JAYA – Selepas mendunia dengan ‘pinjam seratus’ di Jakarta, Indonesia, kumpulan terkenal Coldplay sekali lagi berpantun pada konsert Coldplay Music of the Spheres di Stadium Nasional Bukit Jalil semalam.
Pada acara tersebut, vokalisnya, Chris Martin mendendangkan serangkap pantun yang digelar ramai sebagai ‘pantun tomyam’ selain menggambarkan kegembiraan mereka berpeluang beraksi di Malaysia.
“Pergi ke kedai membeli sayur,
Masak tomyam pesan bonda,
Coldplay sekarang di Kuala Lumpur,
Payung lagu ‘favourite’ anda,” dendangnya sambil bermain keyboard.
Selain pantun, Chris sempat mencipta sebuah lagu berjudul Malaysia Rain pada acara tersebut. Lagu tersebut terhasil susulan cuaca hujan ketika acara berlangsung.
Coldplay juga sanggup berhujan selama lebih satu jam demi menghiburkan peminatnya di Malaysia.
Sebelum itu, Martin sempat menitipkan ucapan penghargaan kepada kerajaan Malaysia kerana memberi peluang kepada mereka membuat persembahan di Malaysia.
“Jom kita ‘healing‘ bersama. Terima kasih sanggup berdiri dalam hujan dan meredah kesesakan trafik.
“Terima kasih menanti 27 tahun untuk kami datang ke sini. Terima kasih kepada kerajaan Malaysia yang sudi mengizinkan kami beraksi di sini,” katanya lagi.
Konsert Coldplay yang julung kali diadakan selepas 27 tahun penantian itu turut mencipta rekod tersendiri dengan kehadiran sekitar 85,000 penonton.
Terdahulu, penganjuran konsert Coldplay meraih pelbagai respons daripada banyak pihak yang antaranya membantah kerana didakwa membawa pengaruh buruk kepada rakyat negara ini.
Perkara itu turut disuarakan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Profesor Madya Dr Luqman Abdullah yang mempersoalkan keperluan konsert Coldplay diadakan di Kuala Lumpur.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagaimanapun menjelaskan kerajaan meluluskan penganjuran itu sebelum ini kerana Coldplay merupakan antara kumpulan yang menyokong Palestin.
Sumber: Kosmo