Kuala Lumpur: “Rindunya nak tengok muka Neelofa. Cantik!” demikian antara komen peminat apabila pengacara Neelofa berkongsi wajahnya dalam versi Kecerdasan Buatan (AI) sempena produk terbarunya.
Neelofa atau nama sebenarnya Noor Neelofa Mohd Noor, 34, meluahkan hasratnya untuk jadikan projek ‘Stamping Your Mark’ itu sebagai penerus kepada impak atau legasi yang unik ditinggalkan setiap individu.
“Buat perubahan, capai yang tak terbayang, sumbang kepada komuniti anda dengan cara meninggalkan kesan berpanjangan, tinggalkan ia jauh lebih baik berbanding ketika menjumpainya.
“Sebuah legasi yang menjadi cerminan kepada keunikan, bakat, dan sumbangan untuk dunia, sesuatu yang membezakan kamu serta akan diingati orang lain,” katanya.
Perkongsian itu jelas mengubat kerinduan peminat untuk melihat wajah Neelofa yang memutuskan memakai niqab tidak lama dulu.
Bagaimanapun, ada berpendapat wajah aslinya jauh lebih cantik.
“Rindu nak tengok sayang (Lofa) senyum. Lama tak tengok ummi (ibu) Bilal dan Abbas. AI pun tak boleh lawan muka original (asli). Ciptaan Allah lagi cantik,” itu antara komen-komen ditinggalkan pengikutnya di Instagram.
Pada Oktober 2020, isteri kepada PU Riz itu mengesahkan dia sudah berpurdah atau berniqab.
Neelofa turut memohon semua pihak mendoakan perjalanan baharunya itu sentiasa dalam rahmat dan reda Allah.
Sumber: Harian Metro