Pemilik Stesen Minyak Mengaku Salah Jual RON95 Kepada Kenderaan Asing

0
36
Foto: Free Malaysia Today

SELAYANG – Seorang pemilik sebuah stesen minyak di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) didenda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen, di sini hari ini, atas pertuduhan menjual petrol RON95 bersubsidi kepada warga asing dari Thailand yang tular di media sosial awal Januari lalu.

Hakim Nor Rajiah Mat Zin menjatuhkan hukuman denda itu terhadap Mohammad Naziruddin Abu Hassan, 61, selepas lelaki itu selaku Orang Kena Saman (OKS) mengaku bersalah atas pertuduhan terbabit.

Sekiranya OKS gagal membayar denda itu, dia boleh dipenjara enam bulan dan OKS membayar denda berkenaan.

Pada 15 Mac lalu, OKS telah didakwa di mahkamah sama dan mengaku bersalah atas pertuduhan terbabit. Hari ini ditetapkan untuk jatuh hukum.

Mengikut pertuduhan, Mohammad Naziruddin selaku pemegang lesen runcit barang kawalan berjadual iaitu petrol dan diesel gagal untuk mematuhi Arahan Pengawal Bekalan iaitu menjual barang kawalan berjadual petrol RON 95 sebanyak 48.78 liter kepada sebuah kenderaan bernombor pendaftaran asing dari Thailand.

Perbuatan itu melanggar Peraturan 12A Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan 1974.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah premis stesen minyak di Hentian Rehat dan Rawat, Lebuh Raya Utara- Selatan arah utara pada pukul 9.16 pagi pada 1 Januari lalu.

Justeru, pertuduhan dikemukakan mengikut Peraturan 21(1) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 22(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122).

Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan denda tidak lebih RM1 juta atau dipenjara bagi tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika kesalahan.

Semasa prosiding, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Fatimah Hannah Abd Wahab bersama Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor Nor Wahidah Muhammad.

Mohammad Naziruddin diwakili peguam Muhammad Syahmi Akif Jamili.

Pada 5 Januari lalu, Kosmo! melaporkan KPDN menjalankan siasatan berhubung kes tular sebuah stesen minyak di Rawang yang menjual petrol bersubsidi kepada warga asing.

Pengarah KPDN Selangor, Mohd. Zuhairi Mat Radey berkata, ia melibatkan sebuah kenderaan bernombor pendaftaran Thailand yang mengisi RON 95.

Tambah beliau, ia merupakan kes pertama direkodkan di Selangor pada tahun ini dan pihaknya memandang serius serta memberi amaran kepada semua pengusaha stesen minyak supaya tidak menjual petrol bersubsidi kepada warga asing. – KOSMO! ONLINE

Sumber: Kosmo

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here