Pemilik Premis Diserbu KPDN, Simpan, Jual Barang Kawalan Tanpa Lesen

0
46
Foto: Kosmo

TELUK INTAN – Seorang lelaki diserbu pihak penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak di kediamannya di sini, semalam. Tindakannya menyimpan dan melakukan urusniaga gas petroleum cecair (LPG) tanpa lesen di Langkap.

Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, operasi pemeriksaan yang dilakukan pukul 11.50 pagi itu adalah hasil maklumat daripada orang awam berhubung aktiviti penjualan barang kawalan LPG tanpa lesen di premis itu.

“Ketika pemeriksaan dilakukan, ditemui sejumlah barang kawalan yang disyaki LPG disimpan di ruangan khas di dalam premis kediaman tersebut.

“Seorang lelaki warga tempatan berumur 58 tahun yang mengaku sebagai pemilik premis kediaman itu memaklumkan bahawa barang kawalan disyaki LPG yang ditemui adalah untuk dijual kepada pelanggan,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Beliau berkata, pemilik kediaman tersebut gagal untuk mengemukakan sebarang permit, lesen atau kebenaran daripada Pengawal Bekalan untuk memiliki barang kawalan disyaki gas petroleum cecair yang ditemui di premisnya.

Sehubungan itu, Kamalludin berkata, tindakan kes telah dilaksanakan dengan menyita sebanyak 37 tong yang berisi LPG berjenama dan 33 tong kosong berjenama dengan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM6,550.

“Kes akan disiasat dibawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana disyaki melakukan kesalahan memiliki atau menyimpan barang kawalan berjadual (LPG) tanpa kebenaran bertulis daripada pihak berkuasa,” katanya.

Justeru, kesalahan yang melibatkan individu selain daripada badan korporat tetapi tidak termasuk pengarah atau pegawai korporat di bawah akta ini noleh dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau dedenda tidak melebihi 1 juta atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

“Manakala bagi mana-mana badan korporat yang melakukan suatu kesalahan terhadap Akta Kawalan Bekalan 1961, apabila disabitkan, boleh didenda tidak melebihi RM2 juta.

“Siasatan lanjut juga akan dilaksanakan ke atas syarikat pemborong barang kawalan LPG ini kerana kesalahan menjual barang kawalan kepada orang yang tidak mempunyai lesen atau permit barang kawalan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Sumber: Kosmo

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here