Tuesday, December 10, 2024
HomeHIBURAN"Pemergian Ahmad Nawab Kehilangan Permata Muzik Tiada Bandingan" - DJ Dave

“Pemergian Ahmad Nawab Kehilangan Permata Muzik Tiada Bandingan” – DJ Dave

PEMERGIAN Seniman Negara, Tan Sri Dr Ahmad Nawab yang meninggal dunia hari ini pada usia 92 tahun disifatkan sebagai kehilangan permata yang tiada bandingnya dalam industri muzik tanah air.

Pengerusi Yayasan Kebajikan Artis Veteran, Datuk DJ Dave berkata, Ahmad Nawab atau nama sebenarnya Ahmad Khan Nawab Khan adalah seorang pemuzik yang mampu mencipta sesebuah lagu sesuai dengan kebolehan dan karakter seseorang penyanyi.

“Saya amat sedih kerana dalam tempoh seminggu ini, selain arwah Ahmad Nawab, saya juga telah kehilangan komposer legenda, Datuk S Atan pada Sabtu lepas. Mereka berdua ini adalah tokoh guru muzik dalam kehidupan kerjaya seni saya.

“Saya banyak belajar daripada arwah. Apabila masuk ke dalam studio bersamanya, ada ketikanya kena marah, tapi saya sabar kerana mahu belajar dan banyak nasihat yang dikongsikan,” katanya kepada pemberita di kediaman Allahyarham di Taman Melewar di sini malam ini.

DJ Dave berkata, beliau ada berjumpa dengan Ahmad Nawab di Istana Negara pada tahun lepas selepas beliau dikurniakan gelaran Tan Sri sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Ketika itu, kami banyak bercakap tentang kerjaya seni saya dan sebagainya. Saya juga ada jemput arwah datang ke rumah saya dan beliau kata ‘yes’ minggu depan beliau nak datang, tapi kemudian beliau memaklumkan kepada saya beliau tak sihat, minggu seterusnya juga tak sempat (datang) kerana beliau masih tidak sihat,” katanya.

Sementara itu, Seniwati Datuk Rosnani Jamil pula berkata, beliau dan Persatuan Karyawan Pulau Pinang ada merancang untuk mewujudkan galeri atau muzium seni untuk arwah memandangkan beliau juga berasal dari negeri itu.

“Kebetulan mak (Rosnani) baru balik dari Pulau Pinang merasmikan galeri untuk Allahyarham Seniman Nordin Ahmad bersama Persatuan Karyawan Pulau Pinang, selama ini orang ingat P Ramlee sahaja dari Pulau Pinang, jadi kita buat juga (galeri) untuk Nordin.

Ahmad Nawab meninggal dunia akibat sakit tua kira-kira 3.15 petang tadi dan jenazah Allahyarham dijangka dikebumikan pada 10 pagi esok di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah Kuala Lumpur-Karak di sini.

Sepanjang kariernya, Ahmad Nawab menghasilkan lebih 200 album yang didendangkan artis tempatan dan Indonesia seperti Hetty Koes Endang dan Broery Marantika.

Ahmad Nawab menggubah lagu Malaysia Truly Asia dendangan Datuk Khadijah Ibrahim yang dianggap dendangan ikon kepada lagu bertemakan pelancongan bagi mempromosikan Malaysia di persada antarabangsa.

Ahmad Nawab yang pernah berkhidmat dengan Orkestra RTM selama 17 tahun, memenangi pelbagai anugerah seperti Anugerah Merak Kayangan (Lagu Terbaik) bagi lagu ciptaan pertamanya Bintang Malam pada 1980.

Sumber – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

Shah Rukh Khan Tak Guna Orang Dalam

0
DIJULANG sehingga mengumpul jutaan peminat di luar negara, Raja Bollywood Shah Rukh Khan atau SRK sebenarnya contoh bintang dunia tidak punya seorang pun saudara...

CATEGORIES