Pembeli Merungut, Peniaga Ambil Kesempatan Naikkan Harga Ayam

0
113
Foto: SatuBerita

KUALA NERUS – Pengguna di daerah ini dan Kuala Terengganu merungut apabila harga ayam segar melambung pada hari pertama Ramadan semalam.

Seorang pengguna, Nur Haz­wani Ilyas, 43, mendakwa, harga ayam segar kini RM10.80 sekilogram iaitu kenaikan 90 sen berbanding minggu lalu.

“Saya yang kerap ke pasar untuk membeli barangan basah mendapati harga ayam ini naik buat kali ketiga dalam tempoh seminggu sejak minggu lalu.

“Walaupun setiap kenaikan cuma 30 sen, ia amat kerap dalam tempoh singkat membuatkan kami sebagai pengguna terkesan,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Seorang lagi pengguna, Abdul Rashid Mokhtar, 42, mendakwa, kenaikan tersebut seakan-akan mengambil kesempatan ketibaan Ramadan.

“Setiap kali Ramadan dan Syawal mesti harga ayam me­lambung dengan alasan kononnya permintaan tinggi.

“Saya tidak nampak pun berlaku kekurangan bekalan ayam. Elok juga cadangan kerajaan mengimport ayam bagi memberi tekanan kepada pengeluar agar harganya kekal stabil,” katanya.

Sementara itu, seorang peniaga, Mohd. Hafizul Hamdan, 40, mengakui berlaku kenaikan harga ayam sebanyak tiga kali sejak seminggu lalu.

“Perubahan ini mengikut harga ayam yang diterima di peringkat pembekal dan pemborong.

“Berdasarkan pengalaman, saya tidak tolak kemungkinan harga ayam segar akan naik lagi menjelang Aidilfitri nanti,” katanya.

Seorang lagi peniaga, Moha­mad Razali Tahar, 42, mengakui bekalan ayam adalah stabil de­ngan 250 ekor dibekal setiap hari.

“Walaupun bekalan ayam stabil, perubahan harga sukar untuk ditentukan. Contohnya tahun lalu, bekalan ayam pada bulan puasa dan raya juga stabil tetapi harganya mencecah RM12 sekilogram,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here