Pembayaran STR Fasa 1 Dikreditkan Bermula Isnin Ini

0
177
Foto: Kosmo

Kuala Lumpur: Pembayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 1 akan dikreditkan mulai Isnin, 29 Januari ini.

Penerima yang berdaftar di dalam pangkalan data STR akan menerima bayaran berkenaan melalui akaun bank mereka atau disalurkan secara tunai melalui Bank Simpanan Nasional (BSN) secara berperingkat mengikut kategori kelayakan masing-masing.

Bayaran STR telah dinaikkan sehingga RM500 kepada isi rumah berbanding bayaran maksimum sebanyak RM300 pada tahun lalu.

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peruntukan bagi Fasa 1 telah bertambah sebanyak 26 peratus kepada RM2.1 bilion daripada RM1.67 bilion pada tahun lalu dalam usaha untuk membantu sebilangan besar rakyat menangani peningkatan kos sara hidup.

“Setiap kali saya ketemu rakyat, perihal utama diutarakan adalah beban kos sara hidup yang kian meningkat lebih deras daripada pendapatan.

“Saya akur akan keperitan ini, justeru Kerajaan giat berusaha untuk memastikan bantuan dapat dipertingkat dengan lebih ketara agar masalah asas ini dapat dileraikan dan tiada rakyat di belakang di bawah pentadbiran Kerajaan MADANI,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, selaras dengan pendekatan Ekonomi MADANI untuk ‘meninggikan lantai’ dari segi kualiti hidup rakyat, Kerajaan akan mengutamakan dan memastikan isi rumah berpendapatan rendah terus diberi bantuan sewajarnya.

“Kerajaan MADANI sentiasa peka kepada keluhan rakyat dan akan terus menambahbaik STR dalam usaha membantu rakyat dalam mendepani cabaran kos sara hidup,” katanya.

Setakat ini, seramai 8.2 juta individu yang layak telah berdaftar untuk STR 2024.

Bagaimanapun angka ini dijangka naik ke hampir sembilan juta bagi tahun ini mengambil kira proses permohonan baharu dan kemas kini dibuka sepanjang tahun, berbanding setahun sekali sebelum ini.

Katanya, sekiranya nama pemohon tiada dalam pangkalan data STR, mereka perlu membuat permohonan bagi membolehkan proses verifikasi mengikut kategori kelayakan STR dimuktamadkan.

Semakan status kelayakan STR dan soalan lazim (FAQ) boleh didapati di Portal Rasmi STR, melalui pautan https://bantuantunai.hasil.gov.my atau https://manfaat.mof.gov.my/.

Orang awam dinasihatkan agar sentiasa berwaspada dengan pautan yang tidak sahih oleh pihak tidak bertanggungjawab bagi merujuk informasi mengenai program STR.

Sumber: Harian Metro

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here