Pembaca Gerak Bibir Dedah Kata-Kata Salah, Punca Pergaduhan Di Gelanggang

0
74
Foto: Berita Harian

LONDON: Pembaca gerak bibir profesional mendedahkan apa yang diperkatakan penyerang Liverpool, Mohamed Salah kepada pengendalinya, Jurgen Klopp sebelum memasuki padang pada aksi menentang West Ham, Sabtu lalu.

Keputusan perlawanan yang terikat 2-2 itu menyaksikan peluang Liverpool menjuarai Liga Perdana Inggeris semakin tipis walaupun mereka mendahului permainan yang memerlukan kemenangan untuk terus berada dalam persaingan kejuaraan.

Dalam aksi di Stadium London itu, perbalahan antara Salah dan Klopp lebih menjadi tumpuan apabila Darwin Nunez terpaksa masuk campur untuk menghalang rakan sepasukannya daripada terus bertengkar dengan pengendali itu.

Ketika Salah dimasukkan oleh Klopp, penyerang Mesir itu seolah-olah tidak berpuas hati dan berkata sesuatu kepada bosnya.

“Tiada apa yang boleh saya lakukan tentangnya, tidak ada apa-apa,” kata pembaca gerak bibir profesional, John Cassidy berkenaan apa yang diperkatakan Salah kepada Klopp ketika itu.

Cassidy kemudian mendakwa, walaupun gerak bibir Klopp tidak dapat dilihat, pengendali itu seakan memberi isyarat yang Salah belum bersedia seperti diharapkannya.

Bos The Reds itu kemudian berkata sesuatu dan menurut Cassidy, Salah membalasnya dengan berkata: “Saya akan, saya akan mendapat kad merah, selepas tujuh tahun, selepas tujuh tahun berkhidmat!”

Nunez kemudian terpaksa masuk campur bagi mengelak situasi bertambah buruk antara Salah dan Klopp.

Insiden berkenaan menimbulkan tanda tanya berkenaan masa depan Salah di Anfield.

Kontrak Salah akan berakhir pada tahun 2025, sekali gus mendorong Liverpool untuk menjual penyerang berkenaan pada musim panas ini.

Bagaimanapun media British melaporkan, The Reds yakin Salah akan menyempurnakan kontraknya ketika kelab-kelab Arab Saudi menagih khidmat bintang Mesir itu.

Salah adalah penjaring terbanyak Liverpool musim ini dengan 24 gol dalam 41 perlawanan, termasuk 17 di Liga Perdana Inggeris.

Liverpool menjuarai Piala Liga pada musim terakhir Klopp di Anfield, tetapi peluang di Liga Perdana Inggeris, Piala FA dan Liga Europa dikecewakan dengan prestasi merudum sepanjang beberapa minggu lalu.

Selain Salah, kapten Virgil van Dijk dan Trent Alexander-Arnold juga memasuki tahun terakhir dalam kontrak masing-masing. – AGENSI

Sumber: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here