Pemandu Lori, Pekerja Stesen Minyak Ditahan Seleweng Diesel

0
134
Foto: Berita Harian

ALOR SETAR: Empat lelaki termasuk seorang pekerja sebuah stesen minyak di Baling ditahan Kementerian Perdagangan Dalam dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah kerana disyaki cuba menyeleweng diesel.

Serbuan dilakukan empat pegawai dan anggota penguat kuasa KPDN Baling, semalam berdasarkan hasil risikan yang dilakukan sejak beberapa minggu yang lalu.

Pengarah KPDN Kedah, Muhammad Nizam Jamaludin berkata, mereka ditahan dalam serbuan dilakukan jam 1 tengah hari semalam.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan awal mendapati sebuah lori di stesen minyak itu sedang mengisi diesel ke dalam beberapa tong dalam keadaan mencurigakan.

“Ketika serbuan dilakukan, terdapat tiga lelaki berusia lingkungan awal 20-an hingga 30-an sedang mengisi minyak diesel ke dalam tiga tong plastik di bahagian belakang lori berkenaan.

“Hasil soal siasat mendapati, seorang individu mengaku pemilik lori terbabit namun gagal untuk mengemukakan sebarang permit yang sah untuk memiliki barang kawalan itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Muhammad Nizam berkata, berikutan itu, pasukan serbuan turut menyita diesel dianggarkan berjumlah 500 liter bernilai RM1,075.

Selain itu, beliau berkata, tiga tong plastik berkapasiti 200 liter dan lori terbabit disita untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) iaitu mana-mana orang jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan penalti sehingga RM1 juta atau penjara selama tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama, manakala kesalahan kedua dan seterusnya denda tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

“Bagi pertubuhan atau perbadanan pula boleh denda tidak melebihi RM2 juta bagi kesalahan pertama dan RM5 juta bagi kesalahan kedua dan seterusnya.

“Kes ini juga boleh disiasat mengikut kesalahan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2011 (AMLATFPUAA) (Akta 613),” katanya.

Dalam pada itu, KPDN Kedah turut memberikan amaran keras terhadap mana-mana individu dan pengusaha stesen minyak di negeri ini supaya mematuhi perundangan yang dikuatkuasakan oleh kementerian.

“Kementerian juga akan ambil tindakan tegas dengan menggantung sementara lesen mana-mana stesen minyak yang disyaki terbabit dengan penyelewengan minyak petrol dan diesel bersubsidi sehingga siasatan selesai dijalankan dan keputusan kes dimuktamadkan mengikut Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961.

“Sebarang maklumat berhubung penyelewengan barang kawalan dan bersubsidi ini boleh disalurkan melalui saluran yang disediakan oleh pihak kementerian iaitu menerusi Portal e-aduan 2.0 http://eaduan.kpdn.gov.my atau

Call Centre 1-800-886-800 atau E-mel e-aduan@kpdn.gov.my.

“Selain itu, maklumat boleh disalurkan melalui aplikasi EZ ADU KPDN, Pusat Arahan Penguatkuasaan (ECC) 03-88826088/6245, WhatsApp 019-848 8000 dan 019-279 4317 serta Pejabat KPDN Kedah 04-7001745,” katanya.

Sumber: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here