Pemandu Maut Nahas 3 Lori, Lebuh Raya Sesak 13km

0
153
Foto: Berita Harian

SUNGKAI: Kemalangan membabitkan tiga lori menyebabkan aliran trafik di Kilometer (KM) 367 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah selatan kira-kira 13 kilometer (km) dari Sungkai ke Slim River, terhenti awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Mohd Hasni Mohd Nasir berkata, pihak polis menerima maklumat berhubung kejadian kemalangan terbabit kira-kira jam 5.45 pagi tadi.

Katanya, terdapat mangsa maut dalam kemalangan membabitkan tiga lori perdagangan berkenaan.

“Sebuah lori melintang di jalan berkenaan menyebabkan semua lorong terhalang.

“Aliran trafik terhenti kira-kira 13km dan pengguna lebuh raya dinasihatkan menggunakan susur keluar plaza tol Tapah, Bidor dan Sungkai bagi mengelakkan kesesakan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Slim River dengan bantuan BBP Bidor dikejarkan ke tempat kejadian.

Katanya, kemalangan berkenaan membabitkan dua lori muatan buah-bahan dan sebuah lori muatan telur.

“Terdapat seorang mangsa dalam lori muatan telur yang tersepit dan seorang pemandu lori muatan buah-buahan cedera ringan manakala seorang lagi pemandu tidak mengalami kecederaan,” katanya.

Sabarodzi berkata, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Sumber: Buletin TV3

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here