Doha: Sebahagian pemain skuad Harimau Malaya menolak untuk bercakap dengan media Malaysia selepas kekalahan besar 0-4 di tangan Jordan pada perlawanan Kumpulan E saingan Piala Asia 2023 di Stadium Al Janoub, awal pagi tadi.
Dengan wajah sugul, mereka berjalan sambil mengelak daripada memandang ke arah pengamal media yang menunggu di zon temu ramah stadium sebelum terus menaiki bas untuk pulang ke hotel penginapan pasukan.
Namun, pemain tengah, Stuart Wilkin yang tidak menghampakan wakil media dan berhenti di zon temu ramah berkata, kekalahan itu sesuatu yang sukar untuk diterima.
“Sangat mengecewakan dan menyukarkan kami apabila dibolosi dua gol lebih awal, ia perjuangan yang besar.
“Saya rasa kita perlu melihat kembali perlawanan, bagaimana dan apa kesilapan yang dilakukan, kemudian cuba perbetulkan dan buat perancangan untuk perlawanan seterusnya,” kata pemain Sabah FC berusia 25 tahun itu.
Sementara itu, pemain sayap sensasi, Faisal Abdul Halim yang turut berhenti seketika seakan-akan memberi bayangan tindakan rakan sepasukannya adalah kerana kekecewaan disebabkan tidak berjaya memberikan keputusan positif seperti diharapkan.
“Kalah 0-4 bukan keputusan yang kami inginkan. Kami semua pun tak jangka ia berlaku kerana selama tiga minggu kami berlatih dan membuat persediaan sebenarnya peluang (raih keputusan positif) itu ada, tetapi kami dibolosi dua gol awal, satu penalti dan satu percubaan dari luar kotak penalti.
“Ini bukan masa untuk menyalahkan sesiapa, kami kena perbaiki kekurangan pasukan. Jurulatih Kim (Kim Pan-gon) sudah buat habis baik untuk pasukan, tetapi kami kena realistik dengan kualiti yang kami ada dan tahap (permainan) yang pernah dimain,” kata pemain Selangor FC berusia 25 tahun itu.
Pada masa sama, Faisal tidak menolak kemungkinan faktor gugup beraksi di pentas tertinggi bola sepak Asia itu mempengaruhi kekalahan besar pasukan, sekali gus gagal mempamerkan persembahan terbaik seperti dilakukan dalam perlawanan sebelum ini.
Kata beliau, pasukan perlu segera melupakan kekalahan itu dan bangkit menjelang baki dua perlawanan penting bertemu Bahrain dan juara dua kali, Korea Selatan dalam usaha melayakkan diri ke pusingan 16 terbaik.
“Kami masih ada lagi dua perlawanan, peluang untuk melangkah (pusingan 16 terbaik) sekarang memang sukar, tetapi dalam bola sepak kita perlu berusaha dan beri terbaik sekurang-kurangnya untuk membanggakan rakyat Malaysia,” katanya.
Pada perlawanan sulung kedua-dua pasukan dalam kempen kali ini, dua gol masing-masing oleh Mahmoud Almardi dan Mousa Altamari, memberikan permulaan sempurna kepada Jordan untuk mendahului saingan Kumpulan E, dengan berkongsi tiga mata bersama Korea Selatan di tempat kedua.
Malaysia akan membuat perhitungan dengan Bahrain di Stadium Jassim Bin Hammad, Sabtu ini sebelum bertemu Korea Selatan pada 25 Januari depan.
Sumber: Harian Metro