[UPDATE] Berita sedih datang dari dunia badminton China apabila pemain perseorangan, Zhang Zhi Jie, meninggal dunia semasa menyertai Kejohanan Badminton Remaja Asia (BAJC) di Yogyakarta, Indonesia pada malam Ahad.
Kejadian tersebut berlaku ketika pemain muda ini sedang bertanding menentang Jepun dalam perlawanan peringkat kumpulan pada jam 12.20 pagi.
Sebelum kejadian, Zhi Jie dilihat menunggu untuk menerima pukulan servis daripada pemain lawan, sebelum secara tiba-tiba rebah di gelanggang.
Berita sedih ini dikongsikan melalui kenyataan bersama Badminton Asia dan Persatuan Badminton Seluruh Indonesia (PBSI).
“Pemain perseorangan China, Zhi Jie rebah di atas gelanggang semasa pertandingan. Doktor kejohanan dan pasukan perubatan segera memberikan bantuan pertolongan cemas.
“Beliau kemudiannya dikejarkan ke hospital menggunakan ambulans, tetapi disayangkan, beliau meninggal dunia pada jam 23.20 waktu tempatan semalam (Ahad),” demikian kenyataan itu.
Badminton Asia, PBSI, dan Jawatankuasa Penganjur menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Zhi Jie dan Persatuan Badminton China (CBA).
“Masyarakat badminton kehilangan seorang pemain berbakat,” demikian kenyataan itu.
Pertandingan untuk kategori berpasukan bermula dari 28 Jun hingga 2 Julai.
Selepas acara berpasukan, pertandingan untuk kategori individu akan bersambung.
Sumber: Sinar Harian