PETALING JAYA – Beberapa pelancong asing terutamanya dari Indonesia berkongsi ‘rahsia’ untuk mendapatkan harga tiket yang lebih murah ketika berada di Malaysia.
Menerusi perkongsian pengguna TikTok @bagasdwiprasetyo baru-baru ini, katanya antara cara berkesan yang boleh diaplikasikan oleh pelancong asing adalah dengan fasih bertutur bahasa Melayu.
Ini kerana, kebanyakan tempat rekreasi atau pelancongan di Malaysia menyediakan harga tiket lebih murah kepada rakyat tempatan dan juga pemegang kad pengenalan secara sah, manakala pelancong asing dikenakan caj pada kadar berbeza.
Berdasarkan Kosmo, individu tersebut yang juga warga Indonesia memberitahu, dia pernah menggunakan kaedah ‘rahsia’ itu ketika ingin membeli tiket masuk ke sebuah tempat rekreasi bersama dua kawannya dan akhirnya mereka berjaya mengelirukan pekerja di kaunter terbabit.
Jelasnya, taktik itu juga adalah cadangan daripada rakannya yang merupakan warga tempatan.
“Masa beli tiket, kami bercakap guna bahasa Melayu. Akhirnya pekerja (di kaunter) mungkin percaya kami dari Malaysia.
“Jadi, kami dapat harga tiket untuk warganegara Malaysia. Waktu itu ketika taklimat bersama rakan yang merupakan rakyat Malaysia, katanya nanti apabila nak sampai ke kaunter tiket, bercakap guna bahasa Melayu.
“Jadi dari jauh biar kedengaran seperti warga tempatan, orang Malaysia. Akhirnya kami dapat. Walaupun beli tiket untuk empat orang, tiga dari Indonesia dan seorang rakan di Malaysia,” kongsinya.
Menurut Kosmo, tambah individu itu lagi, kebanyakan warga Indonesia mudah ‘menyamar’ seperti rakyat tempatan ketika berada di Malaysia disebabkan mempunyai wajah yang hampir sama.
Ia dikatakan bonus untuk mereka mendapatkan harga tiket murah seperti mana yang dinikmati oleh warganegara.
“Daripada segi rupa, orang Indonesia dan orang Malaysia kan lebih kurang sama. Sama je, mirip,” ujarnya.
Dalam pada itu, menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengguna media sosial berpendapatan adalah penting dan perlu untuk setiap kaunter pembayaran menyemak kad pengenalan pembeli agar keistimewa yang hanya disediakan untuk rakyat tempatan tidak disalahguna oleh warga asing.
Sumber: Kosmo