Kuala Lumpur: Pelakon Adrea Abdullah, 47, mempersoalkan tindakan pihak sekolah yang mewujudkan ‘trend’ hari graduasi berbentuk makan tengah hari atau makan malam di hotel lima bintang.
Menurutnya, ibu bapa seolah-olah dipaksa untuk membayar mahal, antara RM150 hingga RM200 untuk tujuan berkenaan.
“Eh apa ini? Kalau RM15 atau RM20 boleh terima lagi tapi RM150, RM200, itu untuk pelajar saja. Kalau ibu nak datang, kena tambah lagi RM150. Kalau dua-dua (ibu bapa) nak datang tambah lagi RM150.
“Jadi kalau anak RM200, ibu bapa dah RM300, dah RM500 tahu? Takkanlah bayar untuk anak saja, keluarga tak datang, nanti apa pula orang kata. Kenapa bapa tak datang? Kenapa mak tak datang? Kasihan budak ini,” katanya menerusi TikTok.
Adrea mempertikaikan tindakan guru besar yang memilih mengadakan majlis berkenaan di hotel lima bintang yang seolah-olah mahu menunjukkan sesebuah sekolah itu bertaraf mewah dan hebat di media sosial.
“Kena fikirlah ibu bapa tak semuanya mampu dan tidak semuanya kerja bagus. Yang kedua, ibu bapa mungkin ada ramai anak dan komitmen banyak. Mana boleh nak keluar duit macam itu saja.
“Kalau anak lima orang macam mana? Nak keluarkan RM2,500 untuk hari graduasi setiap tahun? Itu tak masuk akal. Bagi saya seolah-olah menganiaya ibu bapa. Peras ugut emosi, kalau mereka tak bayar kasihan anak-anak.
“Malah, siap ada kumpulan WhatsApp dan di situ disertakan lengkap (maklumat). Tidakkah ibu bapa yang tak mampu bayar rasa tertekan?” katanya yang turut menerima sokongan daripada pengikut ketika bersiaran.
Adrea yang dihubungi berkata, situasi itu berlaku kepada adiknya, selain dia juga pernah berbicara hal itu dengan beberapa rakan yang menghadapi isu sama.
“Ada keluarga yang banyak hutang akibat Covid-19 sebelum ini. Ada juga yang anak ramai. Jadi, mana mereka nak bayar untuk benda yang nak kena bayar dengan harga ini?
“Beratus-ratus yang tak masuk akal, jadi keluhan yang sangat berat untuk ibu bapa. Macam-macam tekanan yang akan berlaku. Perkara ini tak wajar berlaku pun.
“Zaman kita belajar dulu, hanya buat di sekolah. Elok saja pun, ramai pelajar yang berjaya juga,” katanya meminta perkara ini dibincangkan semula dengan semua ibu bapa sebelum dilaksanakan pihak sekolah.
Sumber: Kosmo