Pelajar Tingkatan Empat Dan Rakan Ditahan Bersama 10kg Ganja

0
143

KOTA BHARU, 7 November- Polis mengesahkan penahanan seorang pelajar tingkatan empat dan rakannya bersama ganja seberat 10 kilogram di Kampung Banggol Petaling, Pasir Mas, Ahad lalu.

Dadah tersebut dianggarkan bernilai RM31,000.

Menerusi satu kenyataan hari ini, Timbalan Ketua Polis Daerah Pasir Mas Supt Nik Aminuddin Raja Abdullah berkata dua-dua suspek remaja lelaki masing-masing berusia 16 dan 18 tahun itu ditangkap ketika mereka berada dalam sebuah kereta Perodua Kancil di lokasi berkenaan pada pukul 3.15 petang.

“Hasil semakan mendapati seorang daripada suspek mempunyai rekod kesalahan lampau berkait kes dadah.

“Ujian saringan awal air kencing terhadap kedua-dua suspek juga didapati positif ketamin.

“Kedua-duanya direman selama tujuh hari bermula semalam untuk siasatan lanjut,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Jelas Nik Aminuddin, polis ingin menegaskan bahawa usaha memerangi gejala penyalahgunaan dadah bukannya sekadar tanggungjawab pihak berkuasa namun masyarakat secara umumnya perlu mempunyai kesedaran untuk turut serta.

“Pihak polis menyeru kerjasama orang ramai untuk menyalurkan maklumat dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas di talian 09-7932222 atau di balai-balai yang berdekatan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here