KEPALA BATAS, 3 Disember- Polis mengesahkan penahanan seorang pelajar tingkatan satu, pada Jumaat bagi membantu siasatan berhubung kejadian cabul membabitkan 14 pelajar lelaki golongan orang kurang upaya (OKU) di asrama sebuah sekolah menengah di Kepala Batas.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan ACP, Mohd Asri Shafie berkata remaja lelaki yang juga OKU berusia 13 tahun itu ditahan selepas polis menerima laporan daripada pengetua sekolah tersebut pada Jumaat.
“Kesemua mangsa berusia antara 13 dan 14 tahun merupakan pelajar OKU yang mempunyai masalah pembelajaran, penglihatan, pendengaran dan autisme.
“Suspek kini ditahan reman bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.
Jelas Mohd Asri, polis sedang mengesan saksi dan merekodkan keterangan daripada mangsa.
Beliau berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Mohd Asri turut menasihatkan orang ramai supaya tidak menyembunyikan sebarang maklumat mengenai jenayah seksual terhadap kanak-kanak.
Jelasnya, peruntukan undang-undang bawah Seksyen 19 akta yang sama iaitu kegagalan memberi maklumat mengenai perlakuan kesalahan seksual terhadap kanak-kanak boleh didenda tidak melebihi RM5,000.