Pelajar IPTA Usia 23 Tahun Maut Tersepit Kemalangan

0
126
Foto: Kosmo

KOTA TINGGI – Seorang penuntut institut pengajian tinggi awam maut selepas Perodua Myvi dipandu terlibat kemalangan di Kilometer 57.5 Jalan Kota Tinggi – Kluang semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora berkata, pihak polis menerima maklumat kejadian itu kira-kira pukul 3.20 petang melibatkan dua buah kenderaan.

Katanya, Perodua Myvi dipandu oleh mangsa lelaki tempatan berumur 23 tahun, manakala sebuah lagi kereta Proton Exora dipandu lelaki warga tempatan berusia 42 tahun bersama penumpang hadapan wanita berusia 41 tahun.

“Dalam kemalangan tersebut, pemandu Perodua Myvi merupakan pelajar di sebuah institusi pengajian tinggi awam telah parah di bahagian badan dan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Mayat telah dirujuk ke unit forensik Hospital Kota Tinggi bagi tujuan prosedur siasatan. Pemandu dan penumpang hadapan Proton Exora cedera ringan di bahagian badan dan muka telah dirujuk ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Kalsom, Kluang.

“Kes masih dalam siasatan polis di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 jika disabitkan kesalahan penjara minimum 5 tahun dan maksimum 10 tahun serta denda RM20,000 hingga RM50,000 dan hilang kelayakan memegang lesen memandu selama tempoh tidak kurang 5 tahun,” katanya dalam kenyataan di sini.

Hussin berkata, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa peka dan mematuhi undang-undang serta peraturan-peraturan yang telah ditetapkan demi menjaga keselamatan bersama semasa di jalan raya.

Dalam pada itu sebuah jentera dari Balai Bomba Penyelamat Bandar Tenggara turut dikejarkan ke lokasi kejadian.

Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan II Masnawi Wardjin berkata, setibanya pasukan keluaran operasi (PKO) di tempat kejadian didapati benar berlaku kemalangan jalan raya melibatkan dua buah kenderaan yang mana seorang mangsa merupakan pemandu Perodua Myvi tersepit di tempat duduk kenderaan.

“Tindakan operasi mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan khas dan mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan. Mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya. – KOSMO! ONLINE

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here