Pekerja Kedai emas Didakwa Guna Gambar Tengku Bendahara Kelantan Tanpa Kebenaran

0
44
Foto: Astro Awani

KOTA BHARU, 23 Oktober- Dua pekerja kedai emas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, Kelantan hari ini, atas pertuduhan memuat naik gambar iklan perasmian kedai emas oleh Tengku Bendahara Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra Sultan lsmail Petra tanpa kebenaran, pada 16 Oktober lalu.

Pengakuan itu dibuat tertuduh, Aznizan Yusof, 46 tahun dan Nor Asri Che Husin, 42 tahun ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli.

Mengikut kertas pertuduhan, kedua-duanya didakwa menggunakan laman sosial Facebook secara sedar dengan memuat naik gambar iklan perasmian Kedai Emas A&K Gold And Jewelleries oleh Yang Amat Mulia Tengku Bendahara Kelantan tanpa kebenaran dengan niat menyakiti dan mengganggu institusi Kesultanan Kelantan.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di Kampung Pasir Kota, Kota Bharu, pukul 6.55 petang, pada 16 Oktober 2023.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Kedua-dua tertuduh diwakili peguam, Saiful Adli mohon untuk dibicarakan sementara pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Akmal Mohd Bakri.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 setiap orang dengan seorang penjamin.

23 November depan ditetapkan sebagai tarikh sebutan semula kes.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here