PUTRAJAYA, 16 Oktober- Pejabat-pejabat kerajaan diminta supaya mengamalkan budaya penjimatan elektrik.
Demikian saranan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyifatkan amalan tersebut boleh mengelakkan pembaziran walaupun melibatkan hal yang kecil.
“Membazir ini kita selalu lihat yang besar-besar, kita lupa cara kita guna elektrik pejabat,” kata beliau dan menambah amalan itu perlu diubah kerana ia melibatkan dana awam.
“Saya harap hal ini boleh kita mulakan dalam satu budaya kerana kalau penjimatan itu dapat kita amalkan, banyak hal boleh dilakukan,” katanya.
Anwar berkata ketika menjadi Menteri Kewangan pada 1990-an, beliau amat menitikberatkan supaya tidak berlaku pembaziran elektrik di pejabatnya.
“Masa saya di Kementerian Kewangan di Jalan Duta, saya ingat lagi bila perhimpunan kita di luar, kita nampak bangunan mana lampu masih ada, saya minta ketua jabatan pergi tutup lampu. (Saya kata) anda keluar satu jam, kenapa lampu mesti dibuka? Ini bukan wang anda, ia dana awam,” katanya.
Anwar berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Perdana Menteri Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri bagi bulan Oktober pagi tadi.
Sementara itu, Anwar berkata, Bayaran Insentif Awal Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam sebanyak RM2,000 seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2024 Jumaat lepas, merupakan pengiktirafan terhadap khidmat penjawat awam sementara menunggu Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) siap,.
Beliau berkata insentif itu ialah isyarat bahawa kerajaan memberi perhatian serius terhadap kadar upah 1.6 juta penjawat awam di negara ini.
“Tidak munasabah untuk harapkan prestasi meningkat, produktiviti tinggi, tetapi kadar upah tidak meningkat.
“Kalau kita tengok kajian DOSM (Jabatan Perangkaan), tahap produktiviti ada peningkatan, tetapi kadar upah peningkatannya sederhana. Jadi ia tidak berikan suatu galakan,” katanya.
Belaiu turut berharap langkah sama turut dilaksanakan oleh majikan sektor swasta dengan mengambil kira faktor ekonomi semasa.
Very interesting topic, appreciate it for putting up.Blog monry