Pecah Amanah Wang Hampir Setengah Juta, Kerani Akaun Mengaku Tidak Bersalah

0
169

GEORGE TOWN, 28 Disember- Seorang kerani akaun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen George Town hari ini, atas 133 pertuduhan pecah amanah wang sebuah syarikat penguji ketulenan emas antara Oktober 2019 hingga Mei 2021.

Tertuduh, Teh Ya Ling, 41 tahun, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan dihadapan Hakim, Sharmila Abdul Samad.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang ketika itu memegang jawatan sebagai kerani akaun di syarikat berkenaan didakwa melakukan pecah amanah dengan memindahkan wang syarikat berjumlah RM445,815 ke dalam akaun bank RHB miliknya.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di syarikat berkenaan di Jalan Sungai dalam Derah Timur Laut antara 18 Oktober 2019 hingga 31 Mei 2021.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara antara setahun hingga 14 tahun dan denda.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Lee Jun Keong manakala tertuduh diwakili peguam, Teoh Kung Yu.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM500 bagi setiap pertuduhan yang menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak RM66,500 dengan seorang penjamin.

Tertuduh juga perlu menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 9 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen.

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here