PDRM Sahkan Perhimpunan Mega Demi Palestin Sabtu Ini Tiada Kelulusan

0
170
Foto: Kosmo

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) memaklumkan bahawa tiada kelulusan permit dikeluarkan berhubung program Perhimpunan Mega Demi Palestin yang dianjurkan Sekretariat Solidariti Palestin (SSP).

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, sehingga kini, pihak penganjur masih gagal mengemukakan sebarang pemakluman dan permohonan.

“Bagaimanapun, pada 22 Februari lalu, polis telah menasihatkan penganjur untuk mengemukakan permohonan permit kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju,” katanya menerusi satu kenyataan, malam tadi.

Justeru, Ashari berkata, orang ramai dinasihatkan untuk tidak berkumpul atau mengadakan sebarang perhimpunan tanpa kebenaran.

Terdahulu, media melaporkan SSP mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk menyertai Perhimpunan Mega Demi Palestin yang dijadualkan berlangsung di Padang Merbok, Sabtu ini.

Jurucakap SSP dan aktivis sosial, Tian Chua berkata, pihaknya mengharapkan penyertaan semua pihak tanpa mengira agama, latar belakang dan fahaman politik untuk menunjukkan solidariti terhadap rakyat Palestin. – KOSMO! ONLINE

Sumber: Kosmo

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here