Kuala Lumpur: Kehadiran pemain sayap negara Safawi Rasid dalam skuad ke Piala Asia 2024 bukan hanya pelengkap semata-mata namun kelibatnya bakal mencipta sesuatu dalam usaha memastikan pasukan Harimau Malaya meraih keputusan positif di Qatar kelak.
Mengakui berdepan cabaran getir pada perlawanan kumpulan E, Safawi mahu pemilihannya oleh pengendali Harimau Malaya Kim Pan-gon berbaloi.
Malah, Safawi berkata, dia sanggup berkorban dengan melakukan latihan tambahan dalam usaha memastikan prestasinya berada pada tahap terbaik.
Safawi berkata, walaupun dia mendapat kritikan apabila kerap memanaskan bangku simpanan sepanjang tempoh 2023 namun situasi terbabit dilihat sebagai pembakar semangat untuk membuktikan keupayaannya di pentas antarabangsa.
“Sememangnya saya jarang bermain pada tahun ini (hanya catat 66 minit permainan sejak Julai) namun tidak berdiam diri kerana melakukan lebih latihan berbanding pemain lain.
“Perkara penting adalah menjaga pemakanan, pastikan tidur mencukupi dan selebihnya adalah meluangkan masa bersama keluarga.
“Jika saya terus mengekalkan rutin ini mungkin pada tahun ini akan dapat semula prestasi terbaik. Apa pun kita lihat nanti,” katanya.
Selain itu, pemain berasal dari Dungun, Terengganu itu berkata, pengalamannya pernah berhadapan Korea Selatan ketika beraksi bersama pasukan bawah 23 tahun (B-23) pada 2018 dapat dimanfaatkan apabila dijadualkan bertemu lawan itu pada 25 Januari ini.
“Jika diberikan peluang oleh barisan kejurulatihan sudah pastinya saya akan berikan terbaik untuk membantu pasukan negara meraih keputusan positif,” katanya.
Pemain berusia 26 tahun itu muncul wira apabila menjaringkan dua gol untuk Malaysia menewaskan Korea Selatan 2-1 dalam perlawanan bola sepak Sukan Asia 2018 di Stadium Si Jalak Harupat di Bandung, Indonesia.
Mengikut rekod, enam pemain Korea Selatan B-23 ketika itu disenaraikan dalam skuad 26 pemain dibawah kendalian Jurgen Klinsmann pada saingan Piala Asia kali ini.
Sumber: Harian Metro