JOHOR BAHRU: Pihak pengurusan sebuah pusat beli-belah dan hotel di sini, menerima panggilan ancaman bom daripada seorang lelaki dipercayai warga asing, petang tadi.
Menurut Berita Harian, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat, berkata pihaknya menerima panggilan daripada pihak pengurusan bangunan itu pada jam 6.10 petang menyatakan mengenai ancaman keselamatan berkenaan.
“Pihak pengurusan menerima panggilan pada jam 5.38 petang. Pemanggil mengaku dari luar negara dan dia dakwa ada meletakkan bom di beberapa kawasan sekitar pusat beli-belah dan hotel berkenaan.
“Pemanggil ada berkata sesuatu. Ini kali pertama kita dapat laporan berkaitan ancaman seperti ini,” katanya lokasi kejadian di sini, malam ini.
Raub berkata, susulan panggilan diterima, jam 6.30 petang polis mengatur tindakan bagi kerja pengesanan bom seperti yang didakwa.
Semua pengunjung dan pekerja pusat beli-belah dan penghuni hotel diarah mengosongkan bangunan berkenaan.
“Sehingga jam 9 malam, polis mengesahkan kawasan tempat letak kereta pusat beli-belah ini adalah selamat dan tidak menemui sebarang perkara seperti didakwa.
“Jam 9.15 malam, kita benarkan pemilik kenderaan untuk mengambil semula kenderaan mereka dan mengosongkan tempat letak kenderaan.
“Sepanjang insiden ini, anggaran 9,000 pengunjung dan pekerja berada di lokasi dengan 4,000 kenderaan. Sementara di hotel terdapat 892 penghuni yang menggunakan 463 bilik,” katanya.
Raub berkata, setakat jam 11 malam ini, Unit Pemusnah Bom mengesahkan 90 peratus kerja pengesanan sudah selesai dilaksanakan.
“Kita masih menunggu laporan penuh daripada Unit Pemusnah Bom bersama Unit K9, selepas itu barulah kita buat keputusan berhubung pengoperasian bangunan itu,” katanya.
Beliau berkata, polis kini masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengesan lokasi panggilan dibuat serta identiti pemanggil terbabit.
Dalam operasi berkenaan, seramai 12 pegawai kanan polis dan 60 pegawai rendah polis ditugaskan di lokasi kejadian selain dibantu dua Unit K9 polis dan 24 pegawai serta anggota bomba bersama tiga jentera.
Turut ditugaskan, unit pemusnah bom dengan tiga pegawai serta 12 anggota dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor.
Pusat beli-belah berkenaan mempunyai enam tingkat, manakala hotel dengan 28 tingkat.
Sumber: Berita Harian
Hi there it’s me, I am also visiting this site regularly, this website is genuinely fastidious and the visitors are genuinely sharing good thoughts.