OKU Cedera Parah, Leher Dikelar Penagih Dadah

0
35

KLUANG: Seorang pemuda OKU berusia 32 tahun mengalami kecederaan parah selepas lehernya dikelar dengan pisau lipat oleh seorang lelaki yang didakwa dalam pengaruh dadah dalam kejadian di sini pada jam 1.50 tengah hari semalam.

Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh, Ketua Polis Daerah Kluang, menyatakan mangsa dilaporkan stabil dan suspek berusia 45 tahun berjaya ditahan berhampiran sebuah stesen minyak Taman Bersatu di sini pada jam 6.17 petang.

“Mangsa telah dibawa ke zon merah Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Kluang dengan luka parah di leher sebelah kiri dan di bahagian depan kanan lehernya.

“Pada jam 1.50 tengah hari, Ibu Pejabat Polis Daerah Kluang menerima panggilan kecemasan yang melaporkan kejadian seorang lelaki tempatan yang dikelar di lehernya di depan sebuah kedai runcit di Taman Kluang Barat, Kluang.”

“Dalam pemeriksaan rekod jenayah terdahulu, suspek dikenal pasti mempunyai catatan kesalahan jenayah serta kesalahan berkaitan dadah. Ujian saringan kencing juga menunjukkan suspek positif dadah jenis morphine,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau menyatakan bahawa motif kejadian masih dalam proses penyiasatan dan suspek telah ditahan reman selama empat hari bermula hari ini.

“Kes ini sedang disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan, di mana jika disabit kesalahan, suspek boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun, denda, atau kedua-duanya,” katanya.

Sementara itu, seorang saksi kejadian yang dikenali sebagai Suhaida, mengesahkan melihat suspek melarikan diri segera selepas menyerang mangsa.

“Saya melihat suspek dan mangsa bertekak sebelum kejadian. Selepas itu, suspek melarikan diri dan mangsa tinggal berdiri dalam keadaan berlumuran darah di leher sambil meminta tolong,” katanya.

Sumber: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here