KUALA LUMPUR: Beregu lelaki negara, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei memberi tamparan kepada pasangan nombor lapan dunia, Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi yang dalam persiapan ke Sukan Olimpik Paris 2024 apabila menyingkirkan gandingan dari China itu untuk melangkah ke suku akhir Terbuka Singapura, hari ini.
Izzuddin-Sze Fei yang tidak layak ke Olimpik Paris dan menghuni ranking ke-14 dunia menampilkan aksi cemerlang apabila mencatat kemenangan 21-13, 21-16 dalam tempoh 40 minit pada aksi pusingan kedua di Stadiuym Tertutup Singapura.
Keputusan itu menyaksikan naib juara Asia berkenaan berjaya melunaskan dendam mereka ke atas Yu Chen-Xuan Yi selepas tewas dalam pertemuan terakhir di Terbuka India, Januari lalu.
Ini adalah kali kedua berturut-turut dalam tempoh dua minggu Izzuddin-Sze Fei berjaya melangkah ke suku akhir selepas turut melakukannya di Masters Malaysia, minggu lalu.
Bagaimanapun, mereka ketika itu gagal mara ke separuh akhir Masters Malaysia selepas tewas di tangan gandingan Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen.
“Kami bermain dengan baik sejak dari set pertama dan kami berjaya mengawal rentak permainan dalam perlawanan hari ini.
“Saya fikir kunci kemenangan kami dalam perlawanan hari ini adalah komunikasi. Kami sentiasa berbincang untuk setiap mata yang kami raih,” kata Sze Fei kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF) selepas tamat perlawanan.
Izzuddin-Sze Fei akan bertemu pemenang perlawanan antara pasangan Denmark, Daniel Lundgaard-Mads Vestergaard dengan He Ji Ting-Ren Xiang Yu dari China bagi perebutan tiket ke separuh akhir, esok.
Sementara itu, beregu campuran nombor satu negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei turut mengesahkan kemaraan ke suku akhir selepas menyingkirkan pasangan Denmark, Mathias Christiansen-Alexandra Boje 21-17, 21-18 dalam tempoh 40 minit.
“Permulaan set pertama tidak begitu baik, pihak lawan banyak memberi tekanan kepada kami. Namun, selepas 11 mata, kami bincang dengan jurulatih dan mengubah corak permainan kami dan ia berhasil,” kata Tang Jie.
Tang Jie-Ee Wei bakal berdepan ujian getir dalam misi untuk melangkah ke separuh akhir apabila dijadual bertemu juara dunia yang juga pilihan keempat kejohanan dari Korea Selatan, Seo Seung Jae-Chae Yu Jung pada aksi suku akhir, esok.
Dalam pada itu, nasib berbeza dialami beregu campuran profesional, Goh Soon Huat-Shevon Lai yang muncul juara Masters Malaysia, Ahad lalu apabila terpaksa menarik diri di set ketiga ketika ketinggalan 22-20, 11-21, 1-11 kepada pasangan China, Zheng Si Wei-Huang Ya Qiong.
Sumber: Berita Harian