PETALING JAYA – Seorang pengguna di aplikasi X hari ini menyuarakan kekecewaannya apabila sebuah novel karya tempatan laris dijual walaupun secara terang-terangan mengandungi elemen seks.
Dalam hantaran sama, pengguna itu turut menyelar tindakan penulis yang tanpa segan silu menyelitkan elemen agama dalam novel sama walaupun kandungannya tidak selaras dengan agama.
“Selain adegan tidak baik, ada selit ayat Al-Quran. Lebih menakutkan, saya pernah bertemu pembaca cilik berusia 11 tahun yang pernah membaca novel ini di Wattpad.
“Gadis itu sendiri mengaku dia sukakan golongan duda disebabkan pembacaannya dalam novel tersebut,” katanya menerusi ruangan kapsyen.
Difahamkan, novel itu dilamar oleh penerbit tempatan setelah popular di aplikasi Wattpad.
Meninjau ke ruangan komen, orang ramai menyuarakan kerisauan masing-masing berkenaan kualiti penulisan serta isi buku yang dijual pada masa sekarang.
Bahkan, peminat-peminat buku juga tidak menafikan isu ‘soft porn’ dalam karya tempatan bukan isu baharu, malah sudah berkali-kali berlaku.
“Sudah banyak kali naik (timbul) isu ini. Kalau macam ini, boleh disimpulkan pihak penerbit tidak cakna. Hanya terbitkan buku disebabkan penulis ramai pengikut. Tetapi apabila dibaca, jalan ceritanya biasa-biasa sahaja,” kata Ryu.
“Bila dah dewasa baru sedar banyak novel cinta yang popular dalam kalangan remaja perempuan ini ada elemen yang tidak baik. Dulu popular cerita mangsa rogol kahwin dengan perogol,” kata Gojira.
“Ini sangat merisaukan. Penerbit macam ini sepatutnya diharamkan. Kalau buku berunsur politik boleh haramkan, kenapa tidak buku begini?,” kata Sue.
Hantaran tersebut menerima sebanyak 1,300 tanda suka dan 413,000 tontonan.
Sumber: Kosmo